GEORGE TOWN – Seorang kerani insurans di negeri ini kerugian RM601,850 selepas ditipu sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Seberang Perai Tengah menerima laporan daripada mangsa seorang wanita berusia 61 tahun semalam.
Katanya, mangsa menerima panggilan daripada individu yang mendakwa pegawai bank dan memaklumkan terdapat transaksi kad kredit atas namanya.
“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
“Suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan meminta semua butiran akaun bank kononnya untuk tujuan siasatan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa diarahkan membuat pemindahan wang ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan suspek.
“Sepanjang 14 hingga 28 Ogos lalu, mangsa melakukan sebanyak 14 transaksi melibatkan empat akaun bank berjumlah RM601,850.
“Mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada anaknya sebelum membuat laporan polis,” katanya. -KOSMO! ONLINE