LEVERKUSEN – Nasib Bayer Leverkusen, Erik Ten Hag akhirnya menemui titik noktah selepasdipecat apabila gagal meraih sebarang kemenangan dalam aksi Bundesliga awal musim ini.
Sebagai rekod, Leverkusen hanya berjaya mengutip satu mata daripada dua perlawanan apabila tewas 1-2 di laman sendiri kepada Hoffenheim selain gagal menang ke atas Werder Bremen yang beraksi dengan 10 pemain apabila terikat seri 3-3.
Situasi itu meresahkan pengurusan tertinggi Leverkusen yang meletakkan harapan penuh buat Ten Hag untuk meneruskan legasi cemerlang yang ditinggalkan pengendali musim lalu, Xabi Alonso.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Leverkusen sebentar tadi, Ten Hag telah dipecat serta-merta daripada kerusi ketua jurulatih.
“Kami telah mencapai keputusan untuk berpisah dengan Ten Hag serta-merta. Sesi latihan selepas ini akan diketuai oleh pembantu jurulatih (Andries Ulderink dan Rogier Meijer) sementara waktu,” katanya
Ten Hag sebelum ini memiliki reputasi gah apabila dianggap sebagai salah seorang jurulatih terbaik di Eropah sebelum kariernya merudum selepas dipecat Manchester United pada tahun lalu. – AGENSI