fbpx
LIVERPOOL perlu memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk meraih kemenangan dan mencipta jurang mata berbanding pencabar utama, Arsenal. - AFP

EPL: Liverpool resah kelebihan Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Arne Slot dilapor mengarahkan sesi latihan intensif dilakukan oleh para pemainnya untuk memantapkan strategi pertahanan pasukan itu menjelang pertemuan menentang Arsenal di Anfield malam ini.

Perkara paling meresahkan pengurus dari Belanda itu adalah untuk berdepan set-piece Arsenal menyebabkan beliau terpaksa menyediakan sesi latihan khusus terutama untuk berdepan sepakan sudut dan sepakan percuma yang mungkin diperoleh The Gunners.

Kedua-dua pasukan berjaya mencatat kemenangan dalam dua perlawanan awal musim ini menyebabkan pertembungan kali ini penting untuk mana-mana pasukan mencatat kemenangan bagi mencipta jurang mata.

“Kami akan berdepan pasukan yang kuat dan mereka sangat baik sejak musim lalu. Saya fikir mereka telah berjaya meningkatkan kualiti pasukan pada jendela perpindahan kali ini.

“Apabila anda melihat kualiti yang mereka miliki, terutama mengenai kelebihan (set-piece) yang mereka masih kekalkan sejak musim lalu sehingga kini, kami sepatutnya memberikan lebih fokus ke arah itu.

“Mereka mampu bermain dengan banyak cara dan anda boleh melihat mereka adalah pasukan yang sangat tersusun di bawah kendalian Mikel Arteta. Mereka telah bekerja sejak lima tahun lalu menyebabkan mereka boleh bermain dengan apa sahaja cara yang mereka suka,” katanya.

Slot mengakui prestasi benteng pertahanan The Reds masih belum berada pada tahap terbaik terutama ketika mereka bolos dua gol menentang Newcastle United dan sebelum itu gawang mereka dibocori dengan jumlah jaringan sama ketika berdepan Athletic Bilbao.

“Kami perlu tingkatkan kekuatan di bahagian pertahanan. Musim lalu mungkin lebih baik, tetapi kami tidak mahu terlalu panik kerana kami sedang menuju ke prestasi yang lebih stabil selepas ini,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN