fbpx
GRAND Final Miss Malaysia Kebaya 2025 yang didakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini menghimpunkan pemenang-pemenang dari peringkat negeri.

Miss Malaysia Kebaya meraikan identiti nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBAYA bukan sekadar pakaian tradisional, malah ia juga membawa nilai sejarah, budaya dan identiti bangsa.

Di Malaysia, kebaya menjadi simbol keanggunan wanita dan sering dikaitkan dengan ciri kelembutan, sopan santun serta ketelitian seni reka tekstil.

Dalam memartabatkan kebaya, baru-baru ini acara kemuncak Grand Final Miss Malaysia Kebaya (MMK) 2025 telah berlangsung dengan penuh gemilang di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Penganjurannya diadakan bersempena Hari Kebaya Kebangsaan, Karnival Kebaya Malaysia 3.0 serta Anugerah Industri Malaysia Fashion, Modelling and Pageant Association (MFMPA) 5.0, sekali gus meraikan warisan budaya, keunggulan fesyen serta pemerkasaan wanita Malaysia.

Presiden dan Pengasas MMK, Dr. Jason Hee berkata, Miss Malaysia Kebaya atau MMK bukan sekadar pertandingan ratu cantik, ia adalah satu gerakan budaya.

“Melalui platform ini, kita memelihara keanggunan kebaya, memperkasa wanita untuk tampil yakin dan menonjolkan identiti Malaysia ke persada dunia.

“Kebaya adalah simbol perpaduan, warisan dan kebanggaan dan misi kami adalah memastikan terus menginspirasi generasi akan datang,” katanya.

Mula diwujudkan pada tahun 2010, MMK merupakan perintis pertandingan ratu kebaya di Malaysia yang menjadikan kebaya sebagai medium meraikan identiti nasional, fesyen dan pemerkasaan wanita.

Malah, ia terus membuka ruang kepada wanita muda untuk menyerlah, sambil mempromosikan keunikan warisan budaya Malaysia di pentas antarabangsa.

Jason berkata, sejak dianjurkan pada tahun 2012, mereka konsisten menjadikan acara ini sebagai platform tahunan bagi memperkenalkan dan meraikan warisan fesyen tradisional Malaysia.

Terangnya, sebelum acara besar diadakan di peringkat kebangsaan, mereka telah menjalankan penganjuran di beberapa negeri merangkumi Melaka, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Untuk negeri Melaka dan Pulau Pinang kita utamakannya kerana warisan kebaya di negeri itu cukup kuat.

“Kami adakan program ini di peringkat negeri terlebih dahulu, kemudian kami memilih peserta terbaik daripada pertandingan di sana untuk ke acara akhir ini,” jelasnya.

Acara akhir itu ini menampilkan empat kategori pertandingan merangkumi kanak-kanak remaja, dewasa dan klasik.

Pemilihan kategori yang pelbagai ini bukan sahaja meraikan fesyen, malah mendekatkan generasi muda dan tua dengan warisan kebaya.

Apa yang lebih menarik pertandingan itu juga disertai oleh peserta daripada pelbagai kaum merangkumi Melayu, Cina dan India.

Jason juga menjelaskan, pada Disember ini mereka akan menganjurkan pertandingan Miss World Kebaya.

“Kebaya ini tersenarai dalam warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan identitinya dikongsi oleh lima negara merangkumi Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.

“Namun sejak dua tahun lepas kami telah menjayakan Miss World Kebaya dan membuka peluang dan ruang kepada penyertaan antarabangsa supaya keunikan kebaya dapat dilihat di mata dunia,” katanya.

Dalam pada itu, pada MMK 2025, Afifah Dayana Mohd Haizal, 24, telah dinobatkan sebagai pemenang untuk kategori dewasa.

Afifah Dayana memilih untuk tampil anggun dalam kebaya songket yang menurutnya melambangkan keunikan warisan Malaysia.

“Saya memilih kebaya songket sebab pada suatu ketika dahulu ia merupakan pakaian yang paling mahal di Malaysia, hanya dipakai oleh kerabat diraja.

“Tetapi kini sudah dinormalisasikan dan ramai yang memakainya pada majlis perkahwinan atau acara istimewa,” katanya.

Busana kebaya yang digayakannya menampilkan kehalusan tenunan songket dengan sentuhan moden.

Afifah Dayana berkata, kemenangan kali ini benar-benar di luar jangkaannya.

“Sejujurnya saya langsung tidak menyangka akan menang.

“Alhamdulillah, kali ini rezeki saya, saya sangat berbesar hati kerana diberi gelaran Miss Malaysia Kebaya 2025,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN