fbpx
AARON (kanan) dan Wooi Yik berdepan detik cemas apabila diberikan tentangan sengit oleh Arif-Roy King sebelum melangkah ke suku akhir. - AFP

Kejohanan Dunia: Aaron-Wooi Yik nyaris tersungkur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan situasi cukup mendebarkan apabila nyaris tersingkir daripada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis.

Bekas juara dunia itu diberikan tentangan sengit rakan sepasukan, Arif Junaidi-Yap Roy King pada aksi pusingan ketiga sebentar tadi sebelum menang 18-21, 21-18, 26-24 dalam tempoh 64 minit.

Turun sebagai pilihan kedua kejohanan di Adidas Arena, Aaron-Wooi Yik bermula dengan langkah kiri apabila tewas di set pertama sebelum kembali memperkemaskan permainan dan memenangi set berikutnya.

Memasuki set ketiga, kedua-dua beregu saling bertukar servis selain kedudukan mata yang tidak jauh berbeza sehingga pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan ‘deuce’ dengan tuah memihak Aaron-Wooi Yik.

“Kami bermain bersama setiap hari dan menggunakan corak permainan yang sama. Mereka bermain cukup baik hari ini, satu penghormatan untuk mereka atas apa yang dipamerkan,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menjelang aksi suku akhir nanti, gandingan No.2 dunia itu akan menantikan pemenang perlawanan antara pilihan keenam dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dan beregu India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik kekal sebagai satu-satunya wakil negara yang pernah menjulang kejuaraan dunia selepas memenanginya pada edisi 2021 menewaskan legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI