KYIV – Ukraine mendedahkan bahawa askar-askar Russia telah menembusi wilayah perindustrian timur Dnipropetrovsk, yang dibimbangi akan mengukuhkan kedudukan tentera Kremlin dalam perang itu, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) kelmarin.
Wilayah itu merupakan sebuah kawasan pentadbiran pusat yang sebelum ini terhindar daripada pertempuran sengit.
“Ini adalah serangan pertama berskala besar di wilayah Dnipropetrovsk,” kata Viktor Trehubov daripada Kumpulan Operasi-Strategik Tentera Dnipro kepada BBC.
Sepanjang musim panas, Russia mendakwa bahawa tenteranya mara ke kawasan itu ketika mereka berusaha bergerak lebih jauh ke wilayah Ukraine dari Donetsk.
Pada awal Jun lalu, pegawai Russia berkata, serangan telah pun bermula di Dnipropetrovsk, namun laporan terkini Ukraine menunjukkan bahawa askar Moscow hanya sedikit melepasi sempadan wilayah itu.
Sebarang kemaraan Russia ke Dnipropetrovsk akan memberi tamparan hebat kepada moral Ukraine ketika usaha diplomatik yang dipimpin Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang dilihat semakin goyah meskipun Presiden Donald Trump telah bertemu rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin.
Menurut data projek penyediaan peta perang Ukraine, Deep State, tentera Russia menguasai dua perkampungan dalam wilayah itu, iaitu Zaporizke dan Novohryhorivka.
Namun, Ketua Turus Tentera Ukraine, Andrii Hnatov menafikan perkara tersebut dan berkata dalam satu kenyataan bahawa pihaknya masih mengawal Zaporizke.
Tambahnya, pertempuran aktif masih berterusan di kawasan Novohryhorivka.
Moscow tidak pernah menuntut Dnipropetrovsk, berbeza dengan Donbas dan empat wilayah timur lain di Ukraine. Namun, ia telah menyerang bandar-bandar besarnya termasuk ibu kota wilayah tersebut, Dnipro.
Sebelum perang, Dnipropetrovsk mempunyai populasi lebih tiga juta orang dan merupakan pusat industri berat kedua terbesar Ukraine selepas Donbas yang terdiri daripada Donetsk dan Luhansk.
Awal bulan ini, satu kumpulan infantri kecil membuat kemaraan mengejut sejauh 10 kilometer melepasi garisan pertahanan Ukraine berhampiran Dobropillia, tetapi petunjuk terkini menunjukkan bahawa ia telah pun terhenti.
Timbalan Ketua Pejabat Presiden Ukraine di Kyiv, Kolonel Pavlo Palisa memberi amaran kepada wartawan di AS pada Jun lalu bahawa Moscow mahu menguasai seluruh Ukraine di timur Sungai Dnipro, yang membahagikan negara itu kepada dua.
Dalam perkembangan berlainan, Trump mengeluarkan ancaman perang ekonomi ke atas Russia sekiranya Putin tidak menghentikan segera peperangan dengan Ukraine, lapor laman berita Radio Free Europe.
“Ia tidak akan menjadi perang dunia, sebaliknya perang ekonomi.
“Perang ekonomi akan menjadi amat buruk, dan ia lebih buruk buat Russia. Saya tidak mahu itu berlaku,” katanya kepada wartawan di White House kelmarin.
“Saya mahu lihat perang itu tamat. Kami mahu ia berakhir. Kami akan melakukan sekatan ekonomi,” tambah Trump.
Sebelum ini, Trump pernah memberi amaran sekatan ekonom lebih berat terhadap Russia, namun sehingga kini, beliau masih belum mengenakan langkah berkenaan. – AFP/AGENSI