PETALING JAYA – Gempa bumi berukuran 3.2 magnitud yang berlaku berlaku di Segamat, Johor semalam berpunca daripada pergerakan kerak benua.
Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dalam kenyataan hari ini mengesahkan kejadian tersebut bukannya berpunca daripada aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam.
JMG berkata, Malaysia terletak di atas Plat Sunda yang relatif stabil, namun menerima pengaruh tekanan daripada sistem tektonik serantau, khususnya Jalur Subduksi Sunda di barat Sumatera.
Jelasnya, tekanan ini berpotensi mengaktifkan semula sesar-sesar di Semenanjung Malaysia dan boleh menghasilkan gempa bumi bersaiz kecil hingga sederhana.
“Analisis awal seismologi mendapati gempa bumi ini berpunca daripada pergerakan sesar mendatar sinistral, iaitu blok kerak bumi di utara sesar, bergerak ke arah barat manakala blok di selatan sesar, bergerak ke arah timur.
“Kejadian ini menunjukkan berlakunya pengaktifan semula sesar berkenaan. Kedalaman gempa cetek (+/-10 km) mengesahkan ia berpunca daripada pergerakan kerak benua, bukan
aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam,” katanya.
Menurut JMG, sejarah kejadian gempa bumi di Semenanjung Malaysia turut merekodkan beberapa peristiwa terdahulu, antaranya di Bukit Tinggi, Pahang, Kenyir, Terengganu, Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta Manjung-Temenggor, Perak.
Katanya, Johor juga pernah mengalami gegaran kecil pada tahun 2021 dan 2023 yang berpunca daripada aktiviti seismik di luar pesisir Sumatera.
“Kesemua insiden, termasuk gempa di Segamat ini, menunjukkan plat benua Semenanjung masih menyimpan tenaga atau tegasan tektonik yang boleh dilepaskan dari semasa ke semasa dan menghasilkan pergerakkan bumi.
“Pemantauan seismik yang berterusan, pemetaan semula sesar, serta pembangunan sistem amaran awal perlu diberi perhatian bagi meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dan melindungi infrastruktur sedia ada,” katanya.
Sementara itu, JMG berkata pihaknya bersama Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus memperkasakan pemantauan dan analisis saintifik kawasan yang dijangka akan menerima ancaman risiko gempa bumi yang berlaku sama ada berpusat dalam negara atau daripada negara jiran.
Katanya, hasil pemantauan dan analisis ini akan diterjemahkan sebagai langkah kesiapsiagaan yang proaktif demi keselamatan rakyat khususnya kawasan-kawasan yang terdedah kepada ancaman gempa bumi.
Semalam, media melaporkan gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada 8.59 pagi tadi di Segamat, Johor, dengan gegaran dilapor dirasai di beberapa kawasan di negeri ini serta selatan Pahang.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan gempa bumi itu berlaku di kira-kira 18 kilometer selatan Segamat, berpusat pada koordinat 2.33 darjah Utara dan 102.79 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.- KOSMO! ONLINE