fbpx
Jess Wong (kanan) pada Majlis Pelancaran Perakuan Halal dan Passion Fruit Milk Tea berjenama Beutea.

Pensijilan halal kukuh kedudukan Beutea, sasar sehingga 300 cawangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Syarikat pengeluar minuman teh tempatan, Beutea Holdings Sdn Bhd, (Beutea) komited memperluaskan pensijilan halal selepas banyak cawangan syarikat itu telah menerima pengiktirafan terbabit.

Pengarah Eksekutifnya, Jess Wong berkata, selaras dengan komitmen tersebut, pihaknya menyasarkan untuk membuka 300 cawangan di seluruh Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Jess Wong

“Beutea kini bersedia untuk pengembangan yang agresif. Daripada 70 cawangan kedai sedia ada sekarang, kita menyasarkan untuk meningkatkan jumlah cawangan ke hampir 300 lokasi dalam beberapa tahun akan datang dengan memanfaatkan pertumbuhan pesat pasaran halal di Malaysia.

“Dengan banyak cawangan telah menerima pensijilan halal, Beutea komited untuk meluaskan proses pensijilan ini secara berperingkat ke seluruh rangkaian, agar pelanggan Muslim di seluruh negara dapat menikmati minuman Beutea dengan penuh keyakinan,”katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Wong telah membawa jenama itu mencipta rekod mengagumkan di peringkat ASEAN menerusi jualan minuman Jasmine Grape Tea.

Minuman yang dikenali dengan aroma bunga yang lembut dan rasa manis menyegarkan itu telah menambat hati pencinta teh di seluruh Malaysia dan rantau ini, dengan lebih satu juta cawan terjual dalam tempoh hanya 12 bulan.

Di bawah kepimpinan Wong, Beutea berjaya merekodkan pencapaian luar biasa ini dengan jumlah jualan sebanyak 1,029,121 cawan antara Mei 2024 hingga April lalu sekali gus melayakkan syarikat itu menerima pengiktirafan.

Dalam pada itu, Wong berkata, Beutea turut memulakan langkah pertamanya di peringkat antarabangsa menerusi kehadiran di Singapura serta merancang untuk memasuki pasaran Australia, Jepun, Vietnam, Thailand dan Mauritius.

Langkah tersebut akan dilakukan melalui pembukaan cawangan di pusat beli-belah, kios, kedai utama dan kedai konsep.

“Beutea juga akan terus memperkukuh kerjasama strategik dan menjalin kerjasama dengan jenama-jenama utama bagi merancakkan pertumbuhan di peringkat serantau.

“Kami bersedia untuk memperluaskan kehadiran Beutea di pusat beli-belah, hab gaya hidup dan saluran dalam talian di seluruh Malaysia.

“Kerjasama strategik, kedudukan kukuh kami dalam pasaran halal serta komitmen untuk memperjuangkan budaya teh asli akan menjadi pemacu utama dalam fasa pertumbuhan seterusnya bagi Beutea,”katanya.

Produk Beutea

Antara penawaran utama yang akan datang termasuklah koleksi teh lerai (loose-leaf teas) dan campuran botani yang diformulasikan khusus untuk menyokong pencernaan, ketenangan, fokus dan keseimbangan, menggunakan ramuan semula jadi terpilih seperti melur, kelopak ros dan herba botani lain.

Beutea turut menawarkan pilihan pemanis sifar kalori bagi pelanggan yang ingin menikmati minuman kegemaran mereka tanpa rasa serba salah-memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyesuaian yang mementingkan kesihatan.

Campuran teh ini akan dipadankan dengan set gaya hidup terpilih dan aksesori teh moden, yang direka untuk memperkayakan tabiat menikmati teh, menjadikan Beutea bukan sahaja pilihan hadiah yang bermakna dan merasai keseronokan setiap hari.

Keunikan Beutea bukan hanya terletak pada apa yang dihidangkan di dalam cawan tetapi pada cara jenama ini menggabungkan tradisi dengan sentuhan moden.

Setiap cawangan Beutea direka bentuk untuk membangkitkan suasana hangat rumah teh tradisional Cina, yang disepadukan secara harmoni dengan estetika kontemporari yang mesra Instagram.

Mengulas lanjut, Wong berkata, menu Beutea dirumus khas untuk membuat pelanggan kembali semula.

“Daripada White Peach Oolong Milk Tea yang lembut dan berkrim, kepada Tropical Fruit Tea yang menyegarkan serta Bitter Melon Apple Tea yang penuh warna, setiap campuran mencerminkan falsafah penyediaan Beutea: ‘Satu hirupan memberi kesan mendalam; dua hirupan tinggalkan rasa berpanjangan’.

“Selain itu perisa bermusim edisi terhad seperti Forest Roasted Tea dan Rose Jasmine Milk Tea pula memastikan jenama ini sentiasa segar dan berinovasi, memberi sesuatu yang baharu untuk diteroka oleh peminat setia setiap kali berkunjung.

“Menambah kelainan inovatif, Beutea’s Fruit Veggie Tea Series menggabungkan teh premium dengan ramuan buah-buahan dan sayur-sayuran segar bagi menawarkan minuman moden yang lebih menyihatkan dan menyegarkan.

“Minuman ikonik seperti Bitter Melon Coriander Tea dan Bitter Melon Apple Tea menyerlahkan pendekatan ini, dengan padanan teh melur yang harum bersama buah-buahan segar dan sayur-sayuran berkhasiat,”ujarnya.

Pada masa sama, Wong berkata, satu prinsip yang menjadi teras kepada DNA Beutea adalah dengan menggabungkan budaya teh tradisional Cina dengan rekaan moden.

Menerusi gabungan itu katanya, ia dapat memberi nafas baharu kepada rutin turun-temurun agar kekal relevan buat generasi muda yang dipacu gaya moden.

“Dengan mengadun estetika klasik dan sentuhan kontemporari, kami menjadikan budaya teh asli lebih mudah diakses, relevan dan menginspirasikan.

“Komitmen kami terhadap ramuan berkualiti tinggi termasuk pemilihan teliti daun teh terbaik dari Pergunungan Wuyi, China memastikan setiap cawan dibancuh segar mengikut piawaian tertinggi dari segi rasa dan mutu,”tegasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI