KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) adalah langkah strategik untuk memastikan penyediaan rumah mampu milik berkualiti di seluruh ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa berkata, pelan ini berperanan penting dalam mengimbangi pembangunan sosial bandar dengan memberi fokus kepada pengagihan kediaman yang adil terutamanya di kawasan strategik pusat bandar.
“Pelan ini mengunjurkan keperluan sebanyak 762,500 unit kediaman menjelang 2040.
“Sebanyak 40 peratus daripadanya, iaitu 305,000 unit ditetapkan sebagai rumah mampu milik,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar yang bertanyakan sama ada strategi PTKL2040 seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dalam memastikan keseimbangan sosial bandar melalui penyediaan rumah mampu milik berkualiti secara adil dan bersepadu di seluruh Kuala Lumpur.
Tambah Zaliha, PTKL2040 memperkenalkan Zon Kediaman R4 seluas 353.53 hektar yang dikhususkan untuk pembangunan rumah mampu milik serta mengintegrasikan projek perumahan ini dalam kawasan berintensiti tinggi dan pembangunan bercampur.
Menurut beliau, antara langkah utama yang dilaksanakan termasuk kawalan perancangan untuk memastikan pemaju swasta menyediakan rumah mampu milik dalam projek mereka.
“Kerajaan turut memberi insentif bagi galakan pembangunan ini, dan kami juga mengambil pendekatan kawalan supaya rakyat tidak dipinggirkan daripada peluang memiliki kediaman di kawasan utama Kuala Lumpur,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa projek itu perlu dilengkapi dengan kemudahan asas seperti sekolah, klinik dan pengangkutan awam.
“Dengan pendekatan ini, warga kota bukan sahaja memiliki rumah, tetapi turut menikmati persekitaran hidup yang berkualiti dan inklusif,” katanya.- KOSMO! ONLINE.