TAWAU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu selepas didapati bersalah membunuh rakan asramanya, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dalam kejadian pada Mac tahun lalu.
Tertuduh berusia 20 tahun, turut dihukum 12 sebatan selain diarahkan menjalani hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh tangkapan.
Sementara itu, 12 lagi tertuduh yang turut didapati bersalah, masing-masing dijatuhkan hukuman penjara sehingga mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Hakim Datuk Duncan Sikodol ketika membacakan keputusan berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas meneliti laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mengambil kira faktor umur kesemua tertuduh yang masih remaja ketika kejadian.
Kesemua 13 tertuduh berusia antara 16 hingga 19 tahun ketika kejadian sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu ketika prosiding 22 Ogos lalu, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap semua tertuduh.
Terdahulu, mangsa ditemui mati dengan 102 kesan lebam, lima luka melecet serta tanda mempertahankan diri di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu, antara pukul 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac 2024.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif bersama Ng Jhun Tao manakala Asisten Superintendan Sudin Tjinke bertindak sebagai pegawai penyiasat. – KOSMO! ONLINE