KUALA LUMPUR – Ops Gasak oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bermula 1 Mei lalu bagi menangani isu ‘decanting’ iaitu pemindahan gas petroleum cecair (LPG) daripada tong bersubsidi ke tong tidak bersubsidi dan dijual pada harga pasaran yang lebih tinggi.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, Ops Gasak yang setakat ini menyaksikan nilai rampasan kira-kira RM7 juta tidak melibatkan peniaga makanan dan minuman berskala mikro dan kecil yang menggunakan tong LPG bersubsidi.
“Mesyuarat Jemaah Menteri telah memperakukan bahawa sepanjang tempoh Ops Gasak dilaksanakan, tiada tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap peniaga makanan dan minuman
berskala mikro dan kecil yang menggunakan tong LPG bersubsidi bagi keperluan premis mereka.
“Kita tidak usik peniaga kecil mikro, peniaga goreng pisang, keropok lekor, gerai-gerai dan warung, sebaliknya kita banyak beri tumpuan aktiviti ‘decanting,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berhubung statistik kes ketirisan dan penyelewengan subsidi LPG serta pelan mitigasi untuk peniaga kecil.
Fuziah berkata, keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri juga membenarkan peniaga kecil mikro mendapatkan bekalan tong LPG bersubsidi tanpa perlu memohon permit barang kawalan berjadual.
Menurut beliau, ia merupakan langkah sementara Ops Gasak berjalan dan kerajaan mengumpulkan
data sehingga hujung tahun 2025 sebelum sebarang keputusan dasar seterusnya dimuktamadkan.
Katanya, KPDN juga sedang melakukan sesi libat urus dengan pelbagai persatuan berkenaan bagi memperoleh maklumat tepat mengenai operasi perniagaan jualan dan makanan berskala mikro dan kecil.
“Data itu penting. Kita mahu teliti, seperti dobi layan diri, berapa banyak tong gas diperlukan setiap hari, kalau mahu buat permit berapa banyak.
“Lebih 40 kilogram perlu mohon permit industri. Jadi kita nak tengok apakah kesannya kepada pengguna. Setakat tidak dikuatkuasakan lagi selagi tiada data tepat,” katanya. – KOSMO! ONLINE