KUALA LUMPUR – Sebanyak 7,681 kes salah laku buli di sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) direkodkan dari Januari hingga Disember 2024.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, rekod sepanjang tahun lalu tersebut adalah berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM)
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,992 kes melibatkan sekolah rendah dan 5,689 kes sekolah menengah,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan V. Ganabatirau (PH-Klang) berhubung jumlah kes buli dilaporkan di sekolah-sekolah kerajaan di seluruh negara pada tahun 2024 dan langkah untuk menanganinya.
Fadhlina berkata, KPM sedang melaksanakan penggubalan baharu kepada Peraturan-Peraturan.Pendidikan (Disiplin Murid) bawah Akta Pendidikan 1996.
Menurut beliau, penggubalan itu dilaksanakan bertujuan memperkukuh penguatkuasaan peraturan serta memberi panduan lebih jelas kepada guru untuk mengurus kes salah laku disiplin.
Katanya, dalam konteks pembelajaran pula, Kurikulum Persekolahan 2027 bertujuan membentuk karakter yang selaras dengan hasrat Kurikulum Persekolahan 2027.
Jelas beliau, kurikulum itu mengambil kira peringkat prasekolah sebagai tempoh kritikal bagi perkembangan nilai, emosi dan keperibadian
individu.
“Nilai-nilai seperti kasih sayang, daya tahan, keyakinan diri dan keinginan untuk belajar dipupuk melalui pelbagai pengalaman pembelajaran.
“KPM yakin gejala buli dapat dikurangkan dan kesedaran bahaya buli dalam kalangan murid dapat ditingkatkan melalui usaha berterusan yang telah dilaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE