fbpx
Gambar hiasan.

Dewan Rakyat: 205,209 hektar kebun getah matang tidak bertoreh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan terdapat sebanyak 205,209 hektar kebun getah matang tidak bertoreh di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, data itu berdasarkan dapatan Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023.

Justeru, katanya, kerajaan memperuntukkan RM32.4 juta di bawah Program Getah Terbiar (PGT) bagi 2025 bagi menangani isu itu.

Jelas beliau, langkah tersebut antara lain bertujuan mengaktifkan semula kebun-kebun terbabit supaya kembali mengeluarkan hasil.

“Peruntukan ini dijangka memanfaatkan kawasan seluas 10,000 hektar serta memberi manfaat kepada 6,700 pekebun kecil,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai penyusunan semula kebun getah terbiar milik pekebun kecil yang tidak produktif.

Terdahulu, Rubiah berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memperkenalkan program Agromakanan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Menurutnya, program itu meliputi khidmat nasihat, bantuan peralatan, sistem penanaman dan memastikan pilihan jenis tanaman kontan dengan nilai pasaran tinggi.

Tambah beliau, Risda turut menjalin kerjasama dengan agensi pemasaran seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan memasarkan hasil tanaman bagi pasaran domestik.

Kata beliau, terdapat juga sebahagian hasil tanaman diproses menjadi produk hiliran iaitu makanan tambahan lain untuk dipasarkan.

“Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) juga diperkenalkan Risda bagi membolehkan usahawan memasarkan produk melalui program khas termasuk secara dalam talian.

“Risda menubuhkan RISSMART membabitkan lebih 20 cawangan di seluruh negara selain menjalin kerjasama dengan PLUS bagi memasarkan produk dan tanaman kontan pekebun kecil agensi itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI