KUALA LUMPUR – Lagu Negaraku bergema megah di bumi India apabila jaguh angkat berat negara, Aznil Bidin menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia di Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Ahmedabad, India, sebentar tadi.
Kejayaan tersebut sekali gus membuka peluang lebih cerah buat Aznil untuk melayakkan diri secara automatik ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow.
Aznil, yang beraksi dalam kategori baharu bawah 65 kilogram (kg), mempamerkan ketenangan luar biasa apabila berjaya melakukan angkatan 125kg dalam acara snatch dan 172kg dalam clean & jerk, 297kg untuk keseluruhan.
Lebih manis, atlet berusia 31 tahun itu berjaya mengetepikan cabaran sengit wakil tuan rumah, Raja Muthupandi yang meraih perak dengan jumlah angkatan 296kg (128kg snatch, 168kg clean & jerk), manakala gangsa milik lifter Papua New Guinea, Morea Baru dengan 292kg (127kg snatch, 165kg clean & jerk).

Kejayaan itu menyaksikan Aznil berpeluang untuk menjadi sebagai atlet pertama negara yang layak ke temasya Glasgow menerusi kejohanan kelayakan rasmi, selepas kategori bawah 67kg yang disertainya sebelum ini dimansuhkan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) pada Jun lalu.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menyifatkan kejayaan yang diraih sebagai bukti komitmen tinggi atlet negara dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
“Tahniah kepada pasukan Malaysia atas kejayaan hari ini terutama Aznil. Jika diikutkan dengan pingat emas yang diraih Aznil, sepatutnya layak ke Sukan Komanwel. Kita akan tahu secara rasmi selepas berakhir kejohanan nanti, insya-Allah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Aniq Kasdan, yang masih bergelut dengan kecederaan bahu, turut mempamerkan semangat juang tinggi apabila meraih pingat perak dalam kategori bawah 60kg, semalam. -KOSMO! ONLINE