KUALA PILAH – Sebanyak 10 kubur lama yang dipercayai berusia lebih 300 tahun dipindahkan dari kawasan perkuburan lama di Kampung Parit Istana, Kampung Terachi di sini selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa agama.
Difahamkan, pemindahan dilakukan setelah pemilik tanah persendirian itu merancang untuk membina sebuah rumah di tapak berkenaan.
Proses penggalian dan pengkafanan semula jenazah dilaksanakan secara berperingkat mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Pengendali menerusi akaun TikTok Waghih Nismilan yang berkongsikan proses pemindahan itu memaklumkan, pemilik tanah terlebih dahulu mengemukakan permohonan rasmi kepada MAINS, yang menjalankan siasatan sebelum mendapat kelulusan akhir daripada pihak Mufti Negeri Sembilan.
“Proses pemindahan turut melibatkan wakil muzium, pegawai agama dan komuniti setempat.
“Wakil Lembaga Muzium Negeri Sembilan yang berada di lokasi turut mengesahkan bahawa batu sungai yang digunakan sebagai batu nisan menunjukkan usia kubur tersebut melebihi tiga abad,” katanya.
Ujarnya lagi, setakat ini, tiada jasad sempurna ditemui semasa proses penggalian, namun serpihan tulang dan struktur tanah dikenal pasti sebagai tinggalan kubur lama.
“Pemindahan dilakukan dengan penuh tertib dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, media sedang mendapatkan maklum balas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) berhubung pemindahan kubur berkenaan.- KOSMO! ONLINE