PETALING JAYA – Inside Scoop, jenama aiskrim tempatan, kembali dengan edisi kedua koleksi Lokal Legends bersempena sambutan Hari Kebangsaan dengan menawarkan pelbagai rasa tempatan dengan aiskrim artisanal.
Bagi koleksi terbaharu ini, Inside Scoop yang memulakan rangkaian sulungnya di Bangsar pada tahun 2013 menawarkan enam ciptaan baharu berperisa tempatan.
Pengasas Bersama Inside Scoop, Edmund Tan berkata, pihaknya berbangga kerana dapat berpeluang bekerjasama dengan jenama-jenama yang menemani rakyat merentas generasi iaitu daripada kudapan di pawagam ke snek zaman kanak-kanak dan mengubahnya kepada sesuatu yang unik buat kita semua.
“Setiap produk dibuat sepenuhnya di Malaysia dan merupakan lambang kreativiti dan semangat komuniti yang membentuk identiti kita,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena majlis pelancaran koleksi baharu itu di sini baru-baru ini.
Koleksi terbaharu itu terdiri daripada Twiggies Choc-A-Lot (Gardenia) yang mana ia terdiri daripada aiskrim coklat susu ditambah dengan potongan Twiggies Choc-A-Lot Gardenia, snek kek coklat yang paling ikonik buat setiap kanak kanak Malaysia.
Caramel Popcorn (GSC) pula menawarkan aiskrim yang diinspirasikan oleh bertih jagung karamel pawagam GSC, ditambah pula dengan kacang pecan mentega yang rangup.
Setiap suapan aiskrim ini dijamin membawa kenangan manis bersama tersayang di pawagam GSC.
Perisa lain adalah Le-mond Lemon (Julies) merupakan gabungan kreatif aiskrim susu dan kurd lemon yang menyegarkan dengan biskut sandwic Le-mond Julie’s yang rangup dan masam manis. Biskut Julie’s sentiasa hadir sebagai snek wajib di setiap dapur rakyat.
Gula Melaka Chocolate (Beryl’s) pula adalah gabungan inovasi aiskrim coklat dan gula melaka ini adalah hasil kerjasama pengusaha coklat Malaysia yang terkemuka di tahap antarabangsa, Beryl’s.
Perisa ini dihiasi Beryl’s Gula Melaka Milk Chocolate dengan taburan biskut mentega. Ia bagaikan ‘surat cinta’ dalam bentuk aiskrim kepada rakyat Malaysia yang menghargai warisan tradisi.
Inside Scoop juga memperkenalkan, Spanish Latte (ZUS Coffee) yang diinspirasikan oleh menu kafe tempatan ZUS Coffee.
Aiskrim espreso ini diperkaya dengan susu pekat untuk rasa kopi yang pekat dan tekstur halus. Gaulan kon coklat rangup memberi sentuhan moden kepada perisa kopi yang digemari masyarakat.
Choco Malt Kaw (Farm Fresh) menggunakan Farm Fresh Choco Malt, yang mana ia adalah versi ekstra pekat yang ditambah sos coklat and biji malt coklat rangup. Aiskrim ini mengimbau kenangan manis tentang minuman malt coklat zaman kanak-kanak kita.
Inside Scoop telah memiliki lebih 60 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dan ia tetap berpegang pada falsafah yang sama, iaitu membuat aiskrim yang menjadi kebanggaan rakyat.
“Melalui pengenalan Lokal Legends, kami menyatukan enam jenama tempatan ikonik sebagai penghargaan terhadap perisa-perisa yang telah sebati dengan kehidupan kita sejak sekian lama.
“Bagi memeriahkan kempen ini sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68, setiap single scoop dari koleksi Lokal Legends yang akan dihidangkan dengan sarung cawan rekaan khas ’ sebagai cenderahati bagi bulan patriotik ini. -KOSMO! ONLINE