KUALA LUMPUR – Peraturan pendidikan berkaitan disiplin murid di bawah Akta Pendidikan 1996 sedang digubal semula bagi memperkukuhkan penguatkuasaan sedia ada dalam menangani isu buli.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penggubalan itu malah akan memberikan panduan yang lebih jelas kepada guru dalam mengurus kes salah laku disiplin murid di sekolah.
“Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius salah laku buli dan melaksanakan pelbagai program serta intervensi bagi memastikan isu ini tidak terus menular.
“Saya ingin tegaskan bagaimana kita melihat bahawa isu buli ini harus ditangani dengan lebih komprehensif dan efektif,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai usaha KPM menangani gejala buli yang didakwa semakin meruncing dalam kalangan pelajar sekolah.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM akan mengambil tindakan tegas terhadap pentadbir, guru, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah yang melindungi kes buli.
Tegas beliau, KPM sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku buli yang berlaku di institusi pendidikan.
Menurut beliau, antara intervensi dilaksanakan adalah program untuk memperkukuh psikososial pelajar melalui program bersama peranan guru bimbingan dan kaunseling.
“Ketika Kerajaan Madani mengambil alih kerajaan ini, perkara pertama yang kita lakukan memastikan garis panduan buli benar-benar dilaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE