PETALING JAYA – Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia bermula esok hingga Khamis ini.
Kementerian Luar memaklumkan, Lawatan Negara ke Malaysia adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan ia akan disusuli dengan Rundingan Pemimpin Tahunan kali ke-26 antara Malaysia dan Brunei.
“Sultan Hassanal Bolkiah akan diiringi Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, menteri-menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
“Sultan Hassanal Bolkiah akan disambut dengan Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara pada Selasa, diikuti Kunjungan Mengadap ke atas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini.
Satu Majlis Jamuan Negara bagi meraikan Sultan Hassanal Bolkiah dan delegasi juga akan dihoskan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Semasa lawatan berkenaan, Sultan Hassanal Bolkiah turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena Rundingan Pimpinan Tahunan ke-26 pada Rabu.
“Rundingan ini merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei yang memberi peluang bagi kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama, membincangkan isu-isu dua hala tertunggak serta bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.
“Lawatan Negara dan rundingan tahunan ini mencerminkan hubungan istimewa yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, selain memperkukuh usaha bersama dan komitmen dalam mempertingkatkan kerjasama strategik demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu lagi.
Pada tahun lalu, Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion.
Bagi tempoh dari Januari hingga Jun tahun ini, nilai dagangan antara Malaysia dan Brunei berjumlah RM3.02 bilion, dengan eksport bernilai RM2.18 bilion dan import sebanyak RM0.84 bilion. – KOSMO! ONLINE