LONDON – Seramai 20 orang terpaksa turun dari sebuah kapal terbang British Airways (BA) di lapangan terbang di Itali gara-gara cuaca panas melampau menyebabkan pesawat terlalu berat untuk berlepas, lapor portal berita The Sun semalam.
Ketika kejadian, pesawat itu dalam penerbangan menuju ke Lapangan Terbang Kota London, Britain.
Pesawat BA Embraer ERJ-190 memerlukan lebih banyak bahan api kerana ia perlu bekerja lebih keras untuk mencapai altitud penerbangan disebabkan suhu mencecah 35 darjah Celsius di Itali,menjadikan udara kurang tumpat.
Keadaan itu bertambah rumit kerana landasan pendek sejauh 1,559 meter di Lapangan Terbang Amerigo Vespucci, Florence berbanding landasan utama di lapangan terbang Gatwick yang berukuran 3,315 meter.
Kakitangan syarikat penerbangan itu memaklumkan bahawa 36 orang sepatutnya diturunkan, tetapi akhirnya hanya sekitar 20 penumpang yang perlu keluar dari pesawat tersebut.
Pihak British Airways memohon maaf kepada penumpang yang terjejas oleh insiden itu.
“Disebabkan sifat unik lapangan terbang dengan landasan yang pendek, suhu melampau mempengaruhi tekanan udara, maka berat pesawat perlu dikurangkan,” kata jurucakap BA. – AGENSI