KOTA BHARU – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menguatkuasakan tiga undang-undang baharu bermula 1 Januari tahun depan dalam usaha untuk memperkukuh penguatkuasaan peraturan berkaitan pembuangan sampah dan pentadbiran kerajaan tempatan.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, penguatkuasaan itu melibatkan Rang Undang-Undang 672 (RUU672), pindaan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang telah diluluskan sebulat suara di Dewan Negara.
“Kesemua pindaan akta tersebut kini menunggu proses pewartaan yang akan dilaksana selepas mendapat kelulusan penuh dan pewartaan rasmi.
“Kita jangka ia dapat dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026 dan kesemua pindaan itu perlu dibuat secara serentak,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Komuniti Madani Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu di sini hari ini.
Aiman Athirah memberitahu, RUU672 memberi kuasa kepada kerajaan melaksanakan tindakan lebih tegas terhadap kesalahan pembuangan sampah termasuk pelaksanaan khidmat masyarakat sebagai pengajaran.
Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, penganjuran Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) di PPR Kota Bharu telah mencatat kejayaan membanggakan dengan kutipan lebih 115,000 kilogram (kg) barangan kitar semula yang bernilai RM34,620 sejak dilaksanakan tahun 2020.
“Selain itu, sebanyak 16,400 kg minyak masak terpakai yang bernilai RM41,000 juga berjaya dikutip dalam tempoh tersebut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














