PYONGYANG – Korea Utara membina pangkalan tentera rahsia berhampiran sempadannya dengan China yang dipercayai menempatkan peluru berpandu balistik jarak jauh terbaharu Pyongyang, demikian menurut satu penyelidikan baharu.
Pangkalan Operasi Peluru Berpandu Sinpung-dong yang tidak diisytiharkan terletak kira-kira 27 kilometer dari sempadan China, kata Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) yang berpangkalan di Washington dalam laporan diterbitkan kelmarin.
Kemudahan di wilayah Pyongan Utara itu dipercayai menempatkan enam hingga sembilan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) berkeupayaan nuklear dan pelancarnya, kata kajian itu.
Ia berkata, senjata tersebut menimbulkan potensi ancaman nuklear kepada Asia Timur dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan itu, pangkalan tersebut adalah salah satu daripada 15 hingga 20 pangkalan peluru berpandu balistik, penyelenggaraan, sokongan, penyimpanan peluru berpandu dan kemudahan penyimpanan peledak yang tidak pernah diisytiharkan Pyongyang.
Memetik penilaian semasa penganalisis mereka, CSIS berkata, pelancar dan peluru berpandu boleh meninggalkan pangkalan itu semasa krisis atau perang sebelum dihubungkan dengan unit khas dan menjalani pelancaran yang lebih sukar untuk dikesan dari bahagian lain negara tersebut.
“Pangkalan itu bersama-sama dengan yang lain, mewakili komponen utama bagi apa yang dianggap sebagai strategi peluru berpandu balistik Korea Utara yang sedang berkembang.
“Ia juga merupakan keupayaan pencegahan dan serangan nuklear peringkat strategik yang berkembang,” kata laporan itu.
Korea Utara meningkatkan program senjata nuklearnya sejak sidang kemuncak dengan AS gagal pada 2019, manakala pemimpin tertingginya, Kim Jong-un baru-baru ini menyeru agar perluasan pesat keupayaan nuklear negara itu dilakukan. – AFP