GEORGE TOWN – Seramai 192,823 pelancong dari Indonesia direkodkan tiba di Pulau Pinang melalui penerbangan antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, meningkat dua peratus berbanding 188,905 orang dalam tempoh sama tahun lalu.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, peningkatan itu sekali gus mengekalkan Indonesia sebagai pasaran utama pelancongan antarabangsa negeri ini khususnya dalam sektor pelancongan kesihatan yang menjadi tulang belakang industri pelancongan Pulau Pinang sejak sekian lama.
”Pencapaian tersebut membuktikan negeri ini kekal sebagai destinasi pilihan utama rakyat Indonesia serta memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelancongan serantau,” katanya ketika berucap mengetuai delegasi kerajaan negeri bersama lebih 20 pemain industri pelancongan ke Medan dan Jakarta, Indonesia bagi mengadakan jerayawara promosi bertemakan Not the Penang You Know.
Turut menyertai delegasi itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan; Presiden Persatuan Ejen Pelancongan Indonesia (ASTINDO), Pauline Suharno; Pengarah Tourism Malaysia Pasaran Sumatera, Roasalina Abdul Rahim; serta wakil industri pelancongan Pulau Pinang.
Menurut Hon Wai, pemilihan Medan dan Jakarta amat bertepatan kerana kedua-duanya mempunyai kekerapan penerbangan terus yang tinggi ke Pulau Pinang termasuk jarak Medan-Pulau Pinang yang hanya mengambil masa sekitar 40 minit penerbangan.
”Hubungan udara yang dekat dan kerap ini menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi popular dalam kalangan rakyat Indonesia sejak sekian lama,” katanya.
Hon Wai berkata, Pulau Pinang bukan sekadar destinasi rawatan perubatan, sebaliknya menawarkan pelbagai tarikan lain yang menonjolkan keunikan budaya, sejarah dan gaya hidup moden.- KOSMO! ONLINE