PETALING JAYA – Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil mengesahkan nama pelari jarak jauh negara, Kristian Tung telah disenarai pendek untuk beraksi di Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok, Chonburi dan Songkhla hujung tahun ini.
Menurut Manshahar, senarai penuh atlet ke temasya dwitahunan itu sudah ada, namun ia hanya akan diumumkan selepas Terbuka Malaysia di Kangar, Perlis tamat hujung minggu ini.
“Senarai nama memang sudah ada tetapi belum boleh diumumkan lagi kerana Terbuka Malaysia masih berlangsung. Hanya selepas kejohanan itu berakhir barulah kita akan umumkan senarai rasmi,” katanya.
Jurulatih itu menegaskan senarai pendek belum menjamin tempat secara rasmi, namun kejayaan Kristian memadam rekod kebangsaan 3,000 meter (m) berusia 40 tahun meletakkannya sebagai antara calon utama ke Sukan SEA.
Kristian mencetak lapan minit 15.70 saat (s) pada saingan BMC Record Breakers di Tooting British Milers Club, London kelmarin untuk memadam rekod lama. 8:27.00s dicipta Sivalingam Muthiah, juga di London, pada 18 Jun 1985.
“Nama yang ada dalam senarai pendek bukan bermakna mereka sudah sah akan ke Sukan SEA. Kita akan tunggu sehingga Terbuka Malaysia tamat sebelum senarai muktamad dikeluarkan. Tetapi memang Kristian salah seorang daripadanya,” jelas Manshahar.
Manshahar turut menyatakan acara 3,000m tidak dipertandingkan di Bangkok nanti, justeru Kristian akan berpeluang untuk mengisi slot dalam 5,000m dan 10,000m iaitu dua acara utama yang menjadi kayu ukur pelari jarak jauh.
“Kristian mampu beraksi dalam acara 5,000m dan 10,000m. Jadi walaupun 3,000m tidak ada di Sukan SEA, dia tetap ada prospek yang besar untuk menyumbang sesuatu di Bangkok nanti,” ujarnya.
Dalam masa sama, dia menganggap pencapaian Kristian sebagai permulaan yang cukup meyakinkan kerana pada usia muda, atlet itu sudah berada di ranking ketiga Asia Tenggara dan masih mempunyai peluang untuk terus meningkatkan prestasi.
“Dia masih muda, jadi masa depan masih panjang untuk terus memperbaiki catatan dan insya-Allah dia akan pecahkan lagi rekodnya sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE