KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan kononnya kerajaan mengabaikan hak dan kepentingan bumiputera adalah tidak berasas.
Beliau berkata, Kerajaan Madani sentiasa komited dalam memperkukuh kedudukan bumiputera menerusi pelbagai dasar dan inisiatif yang dirangka secara inklusif serta adil, tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.
“Sejak merdeka, Kerajaan Madani merupakan kerajaan pertama yang mengisytiharkan tanah rizab seluas 50 ekar di Sungai Besi, sebagai usaha melindungi kepentingan bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKM) di sini hari ini
Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan telah mengisytiharkan Dataran Merdeka hingga Carcosa Seri Negara sebagai Tapak Warisan Kuala Lumpur.
“Tanah warisan bermakna sebarang pembangunan yang dibina mestilah berlandaskan identiti dan sejarah tempat tersebut, sebagai langkah memelihara warisan dan budaya kita,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.