PETALING JAYA – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) melakar sejarah baharu apabila berperanan sebagai rakan strategik Projek Rakan Tani, kecerdasan buatan (AI) co-pilot pertama untuk pesawah.
BERNAS menerusi kenyataan berkata, aplikasi berasaskan WhatsApp itu direka khusus untuk membimbing pesawah dalam setiap peringkat penanaman padi.
Inisiatif berinovasi tinggi ini kata kenyataan itu, terhasil melalui kerjasama strategik antara Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Kementerian Digital, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), serta The Hive’s Global AI Village.
“Ia boleh digunakan melalui WhatsApp dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan tidak lama lagi dalam Bahasa tempatan yang mana AI co-pilot berfungsi sebagai ‘penasihat pakar pertanian’ di dalam poket setiap pesawah.
“Rakan Tani menawarkan panduan masa nyata mengenai amalan pertanian terbaik berpandukan Jadual Kerja Ladang BERNAS.
“Ia meliputi pengurusan kesuburan tanah dan tanaman, kawalan perosak, penyakit dan rumpai, sambil menyesuaikan saranan berdasarkan keunikan sebenar sawah berdasarkan lokasi, jenis padi dan umur tanaman,” tambah kenyataan sama.
Sementara itu, Ketua Pejabat NAIO, Sam Majid, berkata, kerjasama Rakan Tani antara NAIO dan BERNAS merupakan perkembangan memberangsangkan dalam mencapai visi AI negara.
“Ia menumpukan sektor agro-makanan sebagai antara bidang utama di bawah Pelan Tindakan AI Kebangsaan, membuktikan bahawa AI adalah pemangkin kepada transformasi sosioekonomi.
“Dengan membawa kecerdasan buatan terus ke hujung jari para pesawah, kita bukan sahaja memperkukuh keselamatan makanan negara, malah meningkatkan taraf hidup dan produktiviti golongan pesawah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE