PETALING JAYA – Mungkin masih ramai yang tidak tahu, tarikh kemerdekaan negara yang disambut saban tahun pada tanggal 31 Ogos merupakan satu tarikh yang telah dipilih oleh seorang pakar ilmu Falaq.
Menerusi satu pendedahan di laman pendidikan Ajar, tarikh tersebut telah ditetapkan oleh Syeikh Abdullah Fahim iaitu Mufti Pulau Pinang ketika itu sebelum Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman berangkat ke kota London pada Januari 1956.
Untuk pengetahuan, Syeikh Abdullah Fahim merupakan datuk kepada bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Menurut fakta sejarah, Tunku ABdul Rahman bertemu Syeikh Abdullah Fahim dan meminta satu tarikh yang ‘baik’ bagi memerdekakan Tanah Melayu ketika itu.
Syeikh Abdullah Fahim kemudiaannya memberi dua tarikh iaitu, 31 Ogos 1957 dan 31 Ogos 1962.
Dalam pada itu, Syeikh Abdullah Fahim turut berkata dua tarikh tersebut adalah “tahun baik mendatangi kita”.
Beliau merupakan salah seorang pelajar dari pakar Falaq dunia di Mekkah, Syeikh Muhammad Mokhtar al-Jawi selama beberapa tahun. – KOSMO! ONLINE.