PETALING JAYA – Persidangan TVET ASEAN yang berlangsung selama dua hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, baru-baru ini, memberi penekanan jelas bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah kunci kepada peralihan digital dan hijau di rantau ini.
Disertai lebih 1,500 peserta merangkumi pembuat dasar, pemimpin industri, penyedia pendidikan, kesatuan pekerja serta rakan pembangunan antarabangsa, persidangan berkenaan menjadi wadah utama membincangkan agenda kemahiran masa depan ASEAN di bawah ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025.
Anjuran bersama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), kedua-duanya agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), persidangan itu membawa tema ‘Memacu Transformasi Digital dan Hijau melalui Sistem TVET yang Inklusif serta Sedia Menghadapi Cabaran Masa Depan’.
Ia menekankan peranan penting TVET dalam memperlengkap tenaga kerja rantau ini untuk ekonomi global yang berkembang pesat.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan pada Sesi Epilog: Hari Kedua menekankan peranan TVET sebagai kunci dalam membentuk masa depan, di samping mengukuhkan penyatuan ASEAN melalui visi bersama.

Beliau menegaskan bahawa TVET bukan sekadar pilihan pendidikan, tetapi sebagai tulang belakang kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial ASEAN.
“TVET amat penting, ia mengurangkan pengangguran belia, memacu keusahawanan, mengukuhkan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menjadi pemangkin kepada keterangkuman sosial.
“Marilah kita meneruskan kerjasama sebagai satu rantau, mengukuhkan perkongsian dan bekerjasama rapat untuk memodenkan kurikulum, memperluas jaringan dengan industri, dan menjadikan TVET sebagai platform bertaraf tinggi,” katanya.
Majlis perasmian ASEAN TVET yang diadakan pada 14 Ogos disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menekankan komitmen Malaysia untuk meletakkan TVET sebagai teras strategi pembangunan nasional dan serantau.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara dalam ucapan perasmian persidangan tersebut menggariskan visinya supaya ASEAN bekerjasama secara kolektif dalam membina tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Persidangan ini mesti mencetuskan dasar-dasar yang memenuhi keperluan pasaran, membuka peluang untuk semua, menjadikan majikan sebagai rakan kongsi sebenar dan mempercepatkan pembelajaran berteknologi tinggi.
“Inilah cara ASEAN membentuk tenaga kerja yang inklusif, bersedia untuk masa depan dan berpotensi memimpin industri TVET global.
“Daripada perhimpunan ini, kita boleh menubuhkan satu gerakan serantau baharu, iaitu ASEAN Green and Digital Skills Taskforce yang menyatukan kita dalam tindakan konkrit, sasaran yang boleh diukur dan sokongan bersama yang berterusan untuk melahirkan bakat yang diperlukan oleh rantau ini,” katanya.

pada 14 dan 15 Ogos lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong pula menekankan peluang ASEAN untuk menjadi peneraju dalam ekonomi digital dan hijau melalui kerjasama yang lebih mendalam serta pembangunan kemahiran yang inklusif.
Beliau menyifatkan kemahiran sebagai mata wang baharu dalam Revolusi Industri 4.0 dan untuk berada di hadapan, negara-negara anggota ASEAN perlu berusaha keras ke arah pengiktirafan bersama dalam soal kemahiran, yang seterusnya menggalakkan mobiliti bakat.
“Dalam era di mana kecerdasan buatan (AI) menjadi pemikir, dunia masih memerlukan mereka yang boleh membina, membaiki, mengendalikan, berkomunikasi, menyelia dan mengatur.
“Inilah elemen kemanusiaan dan sosial yang memerlukan kemahiran, kecekapan dan kepercayaan. Elemen-elemen ini akan bertahan lebih lama daripada kitaran sensasi teknologi. Dalam erti kata lain, latihan kemahiran adalah mata wang pada masa kini.
“Untuk merealisasikan sepenuhnya potensi ASEAN, kita mesti bergerak ke arah sinergi yang lebih tinggi dalam rangka kerja pensijilan bersama,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPK, Mohd. Fathullah Mustafa berkata, ASEAN TVET bertujuan memperkukuh peranan TVET sebagai pemacu utama peralihan digital dan hijau yang inklusif di seluruh rantau ASEAN.

“Apa yang ingin kita capai melalui persidangan ini bukan sekadar sesi perbincangan, tetapi hasil yang boleh dilaksanakan.
“Ia merangkumi satu set prinsip panduan untuk membantu negara-negara anggota ASEAN membangunkan sistem TVET masa depan yang mengintegrasikan dimensi digital dan hijau, serta satu himpunan amalan terbaik yang didokumenkan bagi mewujudkan TVET berasaskan permintaan dan bersifat inklusif, termasuk mekanisme kerjasama antara kerajaan, institusi, industri dan tenaga kerja,” katanya.
Persidangan ASEAN TVET menutup tirai dengan acara penyampaian hadiah Innovator Pitch Day: ASEAN Future-Makers Challenge 2025, yang menyaksikan penyertaan 58 pasukan dari seluruh negara.
Sebanyak 20 finalis terpilih untuk membentangkan idea mereka di hadapan juri profesional, dengan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut, Pahang diumumkan sebagai juara.
Selain itu, 57 pempamer turut memeriahkan pameran teknologi dan inovasi, mengetengahkan penyelesaian latihan terkini serta aplikasi digital dan hijau yang bakal membentuk landskap kemahiran rantau ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai AYOS 2025 dan platform utama yang akan datang, sila layari www.aseanyearofskills.org.