KUALA LANGAT – Keluarga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi mendesak siasatan terperinci dan menyeluruh apabila kematiannya disifatkan amat meragukan.
Ini apabila tiada bedah siasat dijalankan dengan diagnosis kematian terbaru diterima pihak keluarga daripada Hospital Shah Alam hujung Februari lalu mendapati berpunca daripada latihan intensif fizikal.
Ia berbeza dengan kenyataan polis bahawa sebelum ini kematiannya akibat strok haba dan kegagalan fungsi pelbagai organ.
Peguam mewakili keluarga, Nur Aminahtul Mardhiah Md. Nor berkata, ini menimbulkan persoalan bahawa terdapat sesuatu yang berlaku semasa latihan Palapes di padang kawad UiTM pada 10 November lalu.
Katanya, pihaknya kecewa apabila tiada bedah siasat dilakukan meskipun terdapat syak wasangka dalam kematian itu.
“Untuk diagnosis sebegini, saya percaya memang ada kecuaian. Kalau tidak cuai, mengapa pertama kali kata strok haba sahaja. Sepatutnya sebagai doktor yang memaklumkan kepada keluarga berhubung keseluruhan punca kematian.
“Orang awam tiada pengetahuan mengenai prosedur itu dan sepatutnya diberitahu mengenainya.
“Kalau mahu ditandatangani (borang bedah siasat) adalah tidak menjadi satu persoalan. Tiada cadangan dibuat kepada keluarga. Justeru, ada kecuaian daripada pihak hospital dan polis,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, pihak keluarga dan peguamnya mengadakan pertemuan dengan bersama wakil Palapes Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan UiTM.
Menurut beliau, berdasarkan pertemuan tersebut, pihak TUDM memaklumkan Palapes dibuat bagi memastikan mendapat keputusan cemerlang memandangkan ia adalah antara aktiviti kokurikulum.
“Jadi, kalau latihan fizikal diberikan berlebihan dan tidak berdasarkan kemampuan tubuh pelajar itu, sepatutnya dihentikan.
“Jadi, kita mahu ‘penutup’ kepada kes ini sama ada terdapat elemen dikatakan buli, salah guna kuasa sebagai pelatih. Mangsa telah lama impikan belajar lama terpaksa kerja dulu. Cuba bayangkan dalam sehari semua musnah,” katanya.
Jelas beliau, lebih mengecewakan pada 2 Januari lalu apabila Polis Selangor membuat sidang akhbar bahawa bedah siasat dibuat sedang tidak dilakukan pihak tersebut.
“Ini adalah mengelirukan kepada pihak awam. Kami hendak menekankan bahawa bedah siasat tidak pernah buat, dan itu adalah maklumat yang salah.
“Jadi, orang ramai perlu tahu bahawa kes ini telah diabaikan ceritanya dengan bedah siasat tidak dibuat, keluarga tidak maklumkan dan keperluan buat bedah siasat tidak ditanya kepada keluarga,” katanya.
Nur Aminahtul memaklumkan, polis langsung tidak memaklumkan bahawa diagnosis kedua kematian itu dengan hanya menyatakan strok haba sahaja.
“Kenapa simpan perkara ini. Bedah siasat perlu diarahkan polis dan bukannya TUDM yang menyuruh mereka. Polis dan doktor mempunyai tanggungjawab lakukan bedah siasat,” tegasnya.
Justeru katanya, pihak keluarga telah meminta agar difailkan saman sivil terhadap jurulatih Palapes yang terlibat selain UiTM, TUDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kerajaan Malaysia selain mempertimbangkan kepada pihak hospital untuk perkara sama. – KOSMO! ONLINE