fbpx
PERLUMBAAN MotoGP di Sepang sentiasa menarik ratusan ribu penonton pada setiap tahun. - AMIR KHALID

SIC sedia pastikan MotoGP terus kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjelaskan fokus utama mereka ketika ini adalah bagi memastikan Malaysia terus menganjurkan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas kontrak sedia ada tamat pada 2026.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan organisasi itu hari ini, komen Ketua Pegawai Eksekutif, Azhan Shafriman Hanif sebelum ini adalah merujuk kepada usaha memperbaharui kontrak MotoGP, bukannya berkaitan rundingan penganjuran F1.

“F1 kekal sebagai sebahagian sejarah penting dalam SIC tetapi mendapatkan semula hak penganjuran adalah rumit dan menelan kos cukup tinggi. Keutamaan kami adalah memastikan MotoGP terus kekal kerana ia mendapat sambutan hebat daripada peminat selain mudah diakses,” kata SIC.

Dalam pada itu, SIC juga sedia memberikan sepenuh komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dorna Sports serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan sukan dua roda itu terus kekal.

Jelasnya lagi, pihak berkaitan akan menyediakan maklumat serta laporan menyeluruh mengenai impak ekonomi, pelancongan serta pembangunan bagi menyokong proses membuat keputusan terbaik berhubung MotoGP di Malaysia.

“Kami sentiasa menghargai sokongan ditunjukkan peminat serta pihak berkepentingan dalam isu ini selain berazam bagi memastikan masa depan MotoGP di Malaysia demi manfaat peminat, rakan kongsi dan negara,” ujarnya.

Terdahulu, laporan mengatakan KBS masih belum memberi kata putus sama ada penganjuran MotoGP akan diteruskan ataupun tidak selepas 2026 kerana pihak berwajib sedang mengumpul data lengkap sebelum membuat keputusan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan, pihaknya akan mendapatkan segala maklumat secara terperinci daripada SIC berhubung penganjuran sukan permotoran itu, terutamanya dari segi menjana pendapatan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI