SAN JOSE, COSTA RICA – Seekor jerung gergasi berwarna kuning ditemukan di perairan Costa Rica yang dipercayai tangkapan pertama seumpamanya, lapor portal berita MailOnline.
Jerung sepanjang kira-kira 2 meter itu menunjukkan ciri xanthisme iaitu keadaan pigmentasi yang jarang berlaku. Ia menyebabkan warna kulit, sisik atau bulu haiwan menjadi kuning atau keemasan.
Selain xanthisme, jerung spesies ‘nurse shark’ itu juga menunjukkan simptom albino kerana matanya berwarna putih terang.
Pada kebiasaannya, ‘nurse shark’ mempunyai kulit berwarna coklat muda hingga gelap yang membantunya menyamar di terumbu karang dan dasar laut berbatu, tempat ikan tersebut memburu.
“Penemuan seekor ‘nurse shark’ berwarna kuning menimbulkan persoalan penting tentang genetik dan keupayaan penyesuaian spesies ini,” demikian menurut satu kajian mengenai penemuan itu.
Berdasarkan saiz jerung itu, penyelidik dari Universiti Persekutuan Rio Grande membuat kesimpulan bahawa pigmentasi luar biasa itu tidak menjejaskan kelangsungan hidupnya.
Xanthisme dianggap sangat jarang berlaku bagi seluruh alam haiwan. Ia telah direkodkan dalam beberapa spesies ikan, reptilia dan burung tetapi kes yang disahkan masih terhad.- AGENSI