PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan sistem perkhidmatan dalam talian baharu dikenali sebagai e-Derma.
LHDN dalam satu kenyataan media berkata, e-Derma memudahkan urusan permohonan pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
“Sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam memacu transformasi digital negara, e-Derma kini boleh diakses oleh Institusi atau Organisasi (IO) menerusi portal MyTax mulai (hari ini) 20 Ogos 2025.
“Sistem e-Derma membolehkan IO mengemukakan permohonan secara dalam talian serta menyemak status kelulusan permohonan dengan lebih mudah, sistematik dan efisien,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut LHDN, sebagai langkah penambahbaikan, sistem tersebut akan diperluaskan kepada kategori Tabung pada fasa seterusnya.
Jelas LHDN, sehingga pelaksanaan tersebut dibuat, permohonan bagi kategori Tabung akan terus dilaksanakan melalui prosedur sedia ada.
Kata LHDN, bagi memudahkan semakan, e-Derma kini boleh diakses secara dalam talian melalui portal MyTax dengan mengikuti panduan mudah
“Berdasarkan prosedur sedia ada, permohonan pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 melalui pengemukaan permohonan secara bertulis (manual) kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.
“Pelaksanaan e-Derma dapat meningkatkan kecekapan proses permohonan dan kelulusan secara menyeluruh seterusnya memacu sistem percukaian negara ke arah yang lebih cekap, telus dan berdaya saing di peringkat global,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE