LONDON – Pemain baharu Arsenal, Viktor Gyokeres mula dibandingkan dengan bintang Manchester United, Rasmus Hojlund yang dianggap gagal untuk menghadirkan impak besar buat pasukan.
Tanpa ada pilihan lain, bekas pemain Chelsea, Frank Leboeuf berharap Gyokeres mampu keluar daripada bayangan prestasi pada debutnya bersama The Gunners sekali gus kekal dianggap pembelian terbaik Arsenal.
“Persoalan saya kenapa Arsenal mendapatkan pemain seperti Gyokeres sekiranya seluruh pasukan tidak faham dan tidak bermain mengikut yang dia (Gyokeres) mahukan?
“Saya harap dia tidak lalui perkara sama dengan Hojlund. Saya juga harap dia mampu menjaringkan banyak gol buat Arsenal,” katanya.
Pada perlawanan menentang Manchester United sebelum ini, Gyokeres hanya melakukan 21 sentuhan sebelum digantikan oleh Kai Havertz, malah keputusan pengurus Arsenal, Mikel Arteta itu turut mendapat tepukan sindiran daripada penyokong United.
Bagaimanapun, legenda Arsenal, Freddie Ljungberg menjangkan Gyokeres mampu mengharungi musim yang hebat bersama The Gunners, namun masih perlu diberikan lebih banyak masa bagi memenuhi tuntutan aksi di Liga Perdana Inggeris.
“Tugas sukar buatnya, saya pernah katakan dan akan ulanginya sekali lagi, ini adalah Liga Perdana Inggeris, bukan Liga Portugal. Saya tidak bimbang dan saya fikir jika dia sudah mampu hasilkan jaringan, dia akan jaringkan sekitar 20 gol musim ini,” kata Ljungberg. – AGENSI