BULI bukan sekadar jenayah fizikal malah ia adalah fenomena sosial yang mendalam. Tanpa kita sedar, ramai antara kita menjadi ‘pembuli’. Buli hadir dalam sindiran halus, intimidasi sehingga kepada pengabaian emosi.
Di Malaysia, angka yang berlegar di sekolah agak membimbangkan.
Berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), sejumlah 6,208 kes buli dilaporkan sehingga Oktober 2024, sedikit menurun berbanding 6,528 pada tahun sebelumnya.
Ini jauh meningkat dari hanya 3,883 kes pada 2022. Trend yang jelas menaik. Kejadian buli di sekolah meningkat dari hanya 326 kes pada 2021 (negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan) kepada 3,887 pada 2022.
‘Petunjuk prestasi utama’ bahawa gejala buli bukan hanya episodik, sebaliknya semakin merebak dari tahun ke tahun.
Seolah-olah institusi sekolah menjadi gelanggang kepada budaya dominasi, rasa takut dan kuasa tanpa kawalan bertemu.
Proses aduan dan intervensi diakui wujud seperti peti aduan, jawatankuasa disiplin, dan kerjasama Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dengan polis tetapi sering terhalang oleh tradisi ‘diam itu emas’ dan stigma sosial yang kuat.
Tidak hanya murid, ramai pekerja juga menjadi mangsa buli. Dalam kajian yang pernah dilakukan terhadap 5,235 pekerja di Malaysia mendapati, sebanyak 39.1 peratus melaporkan pernah dibuli tempat kerja, 21.4 peratus (jarang), 14 peratus (kadang-kadang), 2.8 peratus (sering) dan 0.9 peratus selalu menjadi mangsa buli.
Rumah tangga yang sepatutnya menjadi zon selamat juga tidak ketinggalan menjadi ruang buli. Di sinilah generasi pertama menerima model tingkah laku termasuk buli.
Jika ahli keluarga menggunakan intimidasi, hinaan atau pengabaian sebagai disiplin, anak-anak akan menganggap itu wajar.
Realitinya, banyak pelajar yang menjadi pembuli bermula dari rumah tanpa disedari.
Buli itu seperti virus yang menular. Ia bermula dari rumah, berjangkit ke sekolah dan merebak ke tempat kerja.
Tanpa kesedaran dan intervensi, lingkaran ini berterusan sukar diputuskan. Malah tanpa disedari, kita semua, ibu bapa, guru, pekerja mungkin menyumbang pada budaya ini dengan tindakan kita sendiri.
Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab. Jika pernah bergurau kasar, menyindir, mengecilkan hati orang lain atau pernah menjadi saksi dan diam secara tidak langsung kita juga ‘pembuli’.
Tindakan praktikal yang boleh dilakukan di sekolah adalah perkasakan pendidikan empati dan pantau buli emosi. Di pejabat pula buka saluran keselamatan dan sokongan psikososial, manakala di rumah ajar komunikasi sihat dan bukan hanya kawalan.
Akuilah sahaja, mungkin kita pernah menjadi pembuli tanpa sedar. Bukan atas niat tetapi kerana kebiasaan. Bayangkan dunia yang adil, empati dan aman bermula dengan kita sedar dan bertindak.














