PETALING JAYA – Kerajaan komited memperkukuh struktur gaji dan meningkatkan taraf hidup pekerja melalui pelarasan terkini kadar gaji minimum serta pelaksanaan dasar baharu yang bersifat insentif dan produktiviti.
Menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), pelaksanaan kadar gaji minimum yang disemak telah berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
Ia merupakan sebahagian daripada pendekatan strategik ke arah pasaran buruh yang adil, saksama dan mampan.
Selain Perintah Gaji Minimum (PGM), kerajaan turut memperkenalkan Dasar Gaji Progresif (DGP) sebagai pelengkap penting yang mendorong majikan memberi ganjaran berdasarkan produktiviti pekerja.
Pelaksanaan serentak kedua-dua dasar ini menjadi pemangkin kepada pembaharuan menyeluruh dalam sistem gaji negara.
PGM telah dikuatkuasakan menerusi Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] yang menetapkan gaji minimum terkini telah dinaikkan daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan secara seragam di seluruh negara.
Pelaksanaan kadar baharu ini bermula pada 1 Februari lalu untuk majikan yang mempunyai lima orang pekerja atau lebih, serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional di bawah klasifikasi Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) 2020, tanpa mengira bilangan pekerja.
Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, tempoh penangguhan selama enam bulan telah diberikan, dan tempoh ini telah tamat pada 31 Julai lalu.
Ini bermakna, bermula 1 Ogos 2025, semua majikan, tanpa pengecualian, termasuk majikan yang sebelum ini menikmati tempoh penangguhan, wajib mematuhi perintah gaji minimum RM1,700 sebulan.
Penting untuk ditegaskan bahawa gaji minimum ini terpakai kepada semua pekerja (warganegara dan bukan warganegara) di sektor swasta, kecuali pekhidmat domestik.
Antara kategori yang termasuk dalam pekerja domestik adalah pembantu rumah, tukang masak, tukang kebun, pemandu peribadi, pengasuh kanak-kanak, penjaga warga emas, pencuci, jaga dan tukang cuci rumah.
Pekerja asing juga tidak dikecualikan daripada PGM selaras dengan Konvensyen ILO No. 100: Equal Remuneration yang mana telah diratifikasikan oleh Malaysia pada tahun 1997, serta peruntukan di bawah Akta Kerja 1955 yang tidak membenarkan diskriminasi antara pekerja tempatan dan asing.
Pekerja kontrak perantisan juga wajib dibayar RM1,700 sebulan bermula 1 Ogos lalu.
Majikan pula diwajibkan untuk mematuhi kadar minimum ini, kegagalan berbuat demikian adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 43, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732].
Hukuman yang boleh dikenakan termasuk denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja yang terlibat, denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan berterusan dan bagi kesalahan berulang, denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.
Manakala, DGP pula merupakan satu inisiatif baharu kerajaan bagi mereformasi pasaran buruh dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.
DGP berfungsi sebagai pelengkap kepada PGM. Ia mempunyai tiga ciri asas iaitu pelaksanaannya adalah bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.
Di bawah DGP, kerajaan akan memberikan insentif kepada majikan yang membayar pekerja warganegara Malaysia mereka.
Bagi pekerja Peringkat Permulaan (EL) yang memenuhi skala gaji DGP, insentif sehingga RM200 sebulan selama 12 bulan untuk setiap pekerja yang layak.
Bagi pekerja Bukan Peringkat Permulaan (NEL), insentif sehingga RM300 sebulan selama 12 bulan untuk setiap pekerja yang layak.
Kenaikan gaji DGP untuk NEL mestilah sama atau lebih daripada enam peratus (peratus kenaikan garis panduan 2024).
Untuk menyertai DGP, majikan perlu mendaftar akaun DGP melalui portal rasmi https://gajiprogresif.gov.my/login.php.
Selain itu, majikan perlu membayar pekerja EL mengikut skala gaji permulaan DGP, menaikkan gaji pokok tahunan NEL mengikut kuantum yang ditetapkan iaitu enam peratus dan memastikan pekerja yang mengambil bahagian menghadiri latihan minimum 21 jam.
DGP menggalakkan majikan untuk meningkatkan produktiviti pekerja melalui pelaburan dalam latihan kemahiran.
Ini bukan sahaja membantu syarikat mengekalkan pekerja berkemahiran tinggi, malah turut mengukuhkan daya saing jangka panjang dalam pasaran buruh yang semakin mencabar.
Bagi membantu majikan dan pekerja memahami pelaksanaan gaji minimum dan DGP, KESUMA telah menerbitkan ‘Buku Panduan Gaji Pokok Permulaan dan Kenaikan Tahunan’ untuk semua sektor.
Buku panduan ini boleh diperolehi di laman sesawang gajiprogresif.gov.my.
Buku panduan ini adalah sebuah manual yang mengandungi satu set Jadual Matriks dengan maklumat mengenai gaji pokok permulaan dan kenaikan gaji tahunan untuk semua pekerjaan pada peringkat 4-digit yang terdapat dalam pasaran buruh di sektor swasta.
Tujuan utama buku panduan ini adalah untuk membimbing majikan dalam pelaksanaan DGP.
Ia juga bertujuan untuk memastikan pekerjaan bagi pekerja peringkat permulaan dikenal pasti secara tepat, kerana kesilapan dalam pengenalpastian boleh menyebabkan tawaran gaji pokok permulaan yang lebih rendah atau lebih tinggi kepada pekerja baharu.
Pada masa sama, majikan dan pekerja boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan gaji minimum melalui portal rasmi di www.gajiminimum.mohr.gov.my.
Sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap PGM, pekerja boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara.
Aduan boleh dibuat melalui pelbagai kaedah termasuk surat, e-mel [email protected], Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), atau hadir sendiri ke mana-mana Pejabat Tenaga Kerja yang berdekatan.
Semua aduan akan disiasat dan tindakan akan diambil jika didapati berlaku ketidakpatuhan.-KOSMO! ONLINE