KUALA LUMPUR – Jangan jadikan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai senjata politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu perolehan pesawat, pencerobohan dron oleh dua rakyat China dan badan risikan negara juga tidak patut dipolitikkan.
“Kalau ditanya mengapa sekarang terbongkar banyak, kerana sekarang kita beri laluan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Bagi saya, kalau ada bukti siapa terkait ini, kita tidak lindungi. Jadi jangan guna ini sebagai senjata politik,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) apakah kerajaan telah menaik taraf indeks ancaman daripada ‘fokus external’ kepada ‘insider threat’ atau ‘hybrid intimidation’
Anwar berkata, isu yang timbul bukan tentang soal parti politik, kerajaan mahupun pembangkang dan Ahli Parlimen yang mempunyai maklumat tambahan diminta supaya menyalurkannya. – KOSMO! ONLINE
 
								
 
								 
											













 
														
