JOHOR BAHRU – Murid tahun empat, Izzul Islam Azuan Isaidi yang didakwa menjadi mangsa buli sehingga mengalami gegaran otak dan dirawat di sebuah hospital swasta di sini dijangka dibenarkan pulang hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, kanak-kanak berusia 10 tahun itu dilaporkan semakin stabil, namun masih dalam pemantauan.
“Seperti yang tular di media sosial, adik Izzul Islam mangsa kes buli yang berlaku pada 7 Ogos 2025 di SK (Sekolah Kebangsaan) Taman Universiti 2, di mana dia dipukul murid berumur 12 tahun di hadapan kelas.
“Alhamdulillah, pihak doktor memaklumkan keadaan adik Izzul Islam tidak serius, namun masih dalam pemantauan rapi. Jika semuanya berjalan lancar, Izzul Islam akan dibenarkan pulang ke rumah.
“Semoga dia segera sembuh dan kembali meneruskan pelajaran dalam keadaan yang lebih baik,” katanya selepas melawat mangsa semalam. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On.
Aznan berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menghulurkan sokongan melalui sesi kaunseling, bantuan psikologi dan kewangan kepada keluarga kanak-kanak itu.
Dalam kejadian itu, mangsa didakwa dipukul, dihentak di kepala selain dipaksa berbogel oleh murid tahun enam gara-gara tidak berpuas hati kerana kakaknya menolak cinta. – KOSMO! ONLINE