KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pesara mahu menggandakan wang bukan sahaja tidak kesampaian, malah duit pampasan persaraannya berjumlah RM94,463 lesap apabila diperdaya skim pelaburan tidak wujud pada minggu lalu.
Lelaki berusia 59 tahun yang menyedari tertipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 8.17 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pesara terbabit menerima pesanan menerusi aplikasi Telegram menawarkan skim pelaburan tersebut pada pukul 3.10 petang, 14 Ogos lalu.
“Mangsa yang tertarik telah membuat pelaburan awal sebanyak RM200 sebelum teruja melihat dia mula mendapat keuntungan dan sentiasa meningkat.
“Dia yang mahu mengeluarkan keuntungan kemudiannya diminta agar membayar wang pemprosesan pengeluaran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, pesara itu akur akan melakukan transaksi keseluruhan berjumlah RM94,463 ke dalam enam akuan bank diberikan suspek.
Beliau berkata, kesemua 12 transaksi tersebut dilakukan antara Khamis hingga Ahad lalu.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE















