PETALING JAYA – Pasangan rakyat Malaysia yang berkahwin di selatan Thailand dinasihatkan supaya segera mendaftarkan pernikahan mereka di Malaysia bagi mengelakkan masalah besar di kemudian hari.
Peguak syarie, Fahmi Ramli berkata, ramai pasangan mengambil jalan mudah untuk bernikah di Songkhla, Narathiwat atau Patani, namun tidak mengesahkan perkahwinan itu di Malaysia.
“Pernikahan di sana mungkin sah dari sudut syarat agama, tetapi sijil nikah yang dikeluarkan di Thailand tidak diiktiraf di Malaysia. Selagi belum disahkan oleh Mahkamah Syariah, sijil nikah itu tidak laku,” jelasnya menerusi perkongsian video di kumpulan Telegram.
Beliau berkata, perkara itu akan memberi kesan serius terutama kepada pihak isteri apabila rumah tangga yang dibina tidak mampu diselamatkam.
“Kalau hendak bercerai, tidak boleh failkan perceraian di Malaysia. Mereka terpaksa kembali ke Thailand untuk urusan itu. Sama juga dalam isu pusaka, jika suami meninggal dunia, isteri tidak boleh menuntut bahagian faraid kerana perkahwinan tidak diiktiraf.
“Malah, tuntutan harta sepencarian pun tidak boleh dibuat walaupun ada aset yang dibeli bersama sepanjang perkahwinan,” katanya.
Menurut Fahmi, pendaftaran dan pengesahan pernikahan di Malaysia sangat penting supaya pasangan mendapat sijil nikah sah yang diiktiraf undang-undang negara.
Beliau turut menasihati pasangan yang sudah berkahwin di luar negara supaya segera membuat permohonan pengesahan nikah di Mahkamah Syariah bagi mengelakkan penyesalan di kemudian hari.
“Ingat, jangan tunggu lama-lama. Kita ni rasa macam kita akan mati tua. Kita pun tak tahu esok kita akan pergi. Ingat!,” pesannya. – KOSMO! ONLINE