KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang mentranformasi National Transplant Resource Centre (NTRC) kepada National Transplant Centre (NTC) bagi mempercepatkan inovasi dalam perkhidmatan pendermaan dan transplan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu penting kerana ketika ini negara masih berdepan dengan jurang besar dalam isu pendermaan organ.
Jelasnya, sehingga Julai 2025, terdapat lebih 10,000 pesakit buah pinggang menunggu transplan, selain pesakit hati, jantung dan paru-paru.
“Transformasi ini akan memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kapasiti, serta mempercepatkan inovasi dalam perkhidmatan pendermaan dan transplan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, jumlah penderma selepas kematian juga masih kecil, iaitu hanya 46 kes atau 1.33 penderma per sejuta penduduk.
Bagaimanapun katanya, terdapat perkembangan positif apabila sejak 1997 hingga Julai 2025, lebih 400,000 rakyat Malaysia telah berikrar sebagai penderma organ.
“Ia termasuk lebih 16,000 pengikrar baharu tahun ini melalui modul Organ Donor Pledge di platform MySejahtera. Hasilnya, lebih 3,300 transplan berjaya dilaksanakan setakat ini, iaitu 1,121 kadaverik dan 2,238 daripada penderma hidup.
“Angka-angka ini membawa sejuta harapan, namun juga mengingatkan kita perjalanan masih jauh,” katanya. – KOSMO! ONLINE














