fbpx
Michael Chong bersama Thin (dua dari kiri) dan isterinya (kanan) yang hadir pada sidang akhbar di Wisma MCA di Kuala Lumpur.

Isteri terjebak along, suami diperas ugut RM11,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki berusia 30 tahun hidup dalam ketakutan apabila menerima ugutan daripada sindiket along yang mendakwa isterinya berhutang dengan mereka, sebelum dipaksa membuat bayaran RM11,500 demi keselamatan keluarga.

Thin, 30, seorang jurujual dari Kuala Lumpur, mendakwa menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali pada 11 Ogos lalu kira-kira pukul 11.46 pagi ketika berada di tempat kerja di Sungai Buloh.

Pemanggil tersebut memperkenalkan diri sebagai along dan mendakwa isteri pengadu, seorang wanita warga Thailand, Chiraprapha Khinawan, 32, pernah membuat pinjaman RM2,000.

Namun, jumlah itu didakwa telah meningkat kepada RM12,000 termasuk faedah.

“Pemanggil mengugut akan mencederakan keluarga saya jika wang tidak dilunaskan sebelum pukul 3 petang. Disebabkan bimbang keselamatan keluarga, saya membuat dua kali transaksi berjumlah RM11,500 ke akaun atas nama Lemcumidewi pada pukul 3.26 petang,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini.

Bagaimanapun, katanya, selepas bayaran dibuat, sindiket itu mendakwa pengadu lewat melunaskan hutang lebih 30 minit dan menuntut bayaran tambahan RM5,000 sebagai denda.

Menurutnya, dia enggan menuruti permintaan itu, namun masih terus menerima desakan dan ugutan daripada beberapa nombor lain yang mengaitkan isterinya dengan hutang berjumlah antara RM12,500 hingga RM15,000.

Kata Thin, isterinya pernah terlibat dengan empat kumpulan along berbeza membabitkan pinjaman keseluruhan RM10,500. Walaupun kesemua hutang telah dilunaskan, mereka tetap menuntut caj lewat bayar mencecah RM43,500.

Lebih membimbangkan, selepas laporan dibuat di Balai Polis Jinjang pada hari sama, pengadu masih menerima mesej ugutan melalui WhatsApp daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Robert Leong dan Muren yang mengaku sebagai pengurus kepada kumpulan along tersebut.

Bimbang keselamatan diri dan keluarga, pengadu tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia (MCA), Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya memandang serius kes berkenaan dan akan membantu keluarga tersebut bagi memastikan keselamatan mereka terjamin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN