KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil akan menanggung kos perpindahan 14 keluarga mangsa kebakaran di Pantai Dalam baru-baru ini ke rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai penempatan sementara.
Fahmi berkata, perkara itu diputuskan hasil perbincangan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, dengan segala keperluan telah diluluskan.
“Saya telah menziarahi keluarga terlibat yang kini ditempatan di pusat pemindahan sementara. Alhamdulillah, dalam tempoh singkat, Menteri Wilayah dan Datuk Bandar telah meluluskan perpindahan keluarga-keluarga yang layak ke rumah transit.
“Kelulusan telah diberikan dan pejabat saya turut menerima sumbangan daripada TNB untuk membantu keluarga-keluarga yang terkesan,” katanya kepada media selepas Majlis Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pantai Dalam, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, DBKL juga akan menanggung bayaran sewa bagi enam bulan pertama untuk semua keluarga mangsa kebakaran.
“Pejabat parlimen akan terus berhubung dengan keluarga ini bagi memastikan mereka tahu cara untuk berpindah.
“Kedua, semua cagaran yang dikenakan oleh DBKL akan ditanggung oleh saya. Insya-Allah mereka tidak perlu membayar apa-apa. Saya akan bantu bayarkan agar mereka untuk bina semula kehidupan dalam suasana lebih ceria,” katanya.
Terdahulu,dalam kejadian kebakaran kira-kira pukul 11 malam pada 8 Ogos lepas, sebanyak 14 rumah setinggan dan empat premis kedai termasuk Mydin Mart dan Pasaraya Karnival musnah dijilat api. – KOSMO! ONLINE.














