PETALING JAYA – “Kalau kami tahu, kami tak akan sesekali turun tanda tangan enggan post mortem (bedah siasat),” kata ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat.
Noraidah, 45, berkata, pada hari kematiannya, dia dalam keadaan terkejut dan panik untuk membuat keputusan berkenaan.
“Kami kekajutan (terkejut), panik dan tidak mampu membuat keputusan waras ketika kejadian.
“Memang tiada penerangan yang jelas, kami bukan biasa dengan kes macam ini. Kami panik, tiada satu pun nasihat dan pengukuhan diberikan akan proses bedah siasat.
“Boleh bayangkan ke sekarang? Kematian ini berlaku begitu cepat,” katanya menerusi komen pada Facebook.
Semalam Kosmo! melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap pegawai penyiasat dan Ketua Bahagian yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berhubung siasatan kematian Allahyarham Zara Qairina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar dipetik berkata, siasatan oleh mendapati terdapat ketidakpatuhan SOP pegawai penyiasat tidak membuat permohonan bedah siasat pada peringkat awal, meskipun terdapat unsur kematian luar biasa.
Beliau menjelaskan, perkara itu berlaku selepas ibu mangsa membuat permohonan agar bedah siasat tidak dilakukan dan ditandatangani dalam satu dokumen di hospital yang turut disahkan oleh doktor, pakar patologi dan pegawai penyiasat terlibat.
Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE