LONDON – Manchester United ketika ini kuat dikaitkan dengan perpindahan pemain tengah Brighton, Carlos Baleba, namun laporan terbaharu menyatakan sebaliknya apabila pasukan itu sebenarnya meletakkan sasaran berbeza.
Laporan menyebut bahawa The Red Devils ketika ini sedang mengintai khidmat pemain di posisi pertahanan dan dipercayai sedang memantau secara dekat perkembangan kapten Crystal Palace, Marc Guehi.
Perkembangan itu menyaksikan United ketika ini menyertai persaingan bersama Liverpool yang sudah dikaitkan dengan spekulasi perpindahan Guehi sejak beberapa bulan lalu ketika dia dianggap sebagai pengganti Ibrahima Konate yang enggan kekal di Anfield.
Guehi ketika ini hanya memiliki baki kontrak semusim sahaja lagi di Selhurst Park dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menerima tawaran baharu menyebabkan United bersedia memanfaatkan peluang tersebut.
Pengendali United, Ruben Amorim memiliki tiga pemain di posisi bek tengah ketika ini melibatkan Matthijs De Ligt, Leny Yoro dan Harry Maguire selepas Jonny Evans dan Victor Lindelof mengakhiri kontrak mereka.
Beliau juga memiliki Ayden Heaven, tetapi dianggap kurang pengalaman selain Lisandro Martinez yang sering berdepan isu kecederaan menyebabkan keperluan mendapatkan Guehi dianggap kritikal untuk United.
Bagaimanapun, United ketika ini sekadar meneroka potensi perpindahan dan membuat penilaian terhadap harga yang mungkin diinginkan oleh Palace, namun belum membuat sebarang bidaan rasmi. – AGENSI