fbpx
Anwar.

Dewan Rakyat: Anwar beri jaminan siasatan rapi kes anak Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan lisan bahawa siasatan berhubung kejadian serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli akan dilakukan secara telus dan rapi.

Menurut Perdana Menteri, beliau berasa dukacita dengan insiden berkenaan yang disifatkannya sebagai sangat melampau dan suatu budaya jahat yang membimbangkan yang perlu dihentikan.

“Dukacita kerana sudah ada budaya agak melampau daripada buli hingga kematian dan kini (serangan terhadap) anak Ahli Parlimen Pandan.

“Saya beri beri jaminan apa disebut Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bahawa mereka akan bertindak segera, pantas dan telus. Bukan saja ambil tindakan, tetapi juga menghentikan budaya jahat ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) berhubung rasional pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset Petronas.

Semalam, Rafizi mengesahkan anak lelakinya yang berusia 12 tahun menjadi mangsa serangan di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Serangan tersebut melibatkan dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal dan telah mengekori kereta isterinya.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) percaya serangan tersebut adalah satu amaran kepadanya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI