MENDAPATKAN ahli yang sama seperti dirancangkan sememangnya sukar setelah trip terpaksa ditunda. Akhirnya, trip ganti yang tertunda sejak dua tahun terlaksana jua.
Kami menggunakan bot tekong Erwan dan bertolak dari jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Dungun, Terengganu. Seperti biasa, lokasi pertama yang dituju adalah kawasan unjam untuk mencari umpan ikan hidup menggunakan apollo.
Apollo adalah perambut panjang dua depa yang tersedia enam mata kail tanpa menggunakan sebarang umpan dan batu ladung di pasang di bawah sekali. Selepas apollo diturunkan, pemancing perlu mengunjun joran ke atas dan ke bawah sehinggalah mata kail dimakan ikan seperti tamban, selar, kembung, cencaru, selayang dan lain-lain lagi.
Pemancing perlu mengaraunya segera untuk menaikkan ikan-ikan kecil tadi. Proses ini dilakukan berulang kali sehinggalah cukup umpan yang diperlukan.
Ketika melakukan kerja-kerja mencari ikan umpan ini, semua harus bekerja sebagai satu kumpulan.
Ada yang tugasnya mengunjun apollo, ada yang hanya menanggalkan ikan dari mata kail dan ada yang perlu memasukkan ikan terus ke tangki simpanan umpan hidup. Barulah semua kerja dapat dilakukan dengan pantas tanpa membuang masa.
Tuju lubuk ikan
Selepas itu, kami bergerak menuju ke lokasi pilihan yang tekong tentukan. Dalam hal lubuk-lubuk ikan ini, biarlah tekong sahaja yang membuat keputusan kerana dia lebih arif.
Ahli trip biasanya tidak perlu memandai-mandai seperti ‘lebih sudu dari kuah’ kerana ia bakal membuatkan situasi kelam-kabut di atas bot.
Sebaik tiba di lokasi pancingan pada pukul 5 petang, masing masing tidak sabar untuk menurunkan umpan. Kelihatan keadaan laut begitu lenang, arus juga sederhana kuat. Lan menjadi peserta pertama yang menaikkan ikan landok.
Kami memang betul-betul di atas lubuk ikan kerana selepas itu semua peserta menerima pagutan dan berjaya menaikkan ikan masing-masing.
Pendek kata, ‘hulur makan, hulur makan’ tanpa henti.
Kebanyakan ahli trip ini memancing dasar, jadi Latip mengambil kesempatan menghanyutkan umpan ikan tamban hidup.

Hasilnya, seekor tenggiri tewas dengan penggunaan perambut dua mata kail berkembar yang disambung dengan dawai.
Selepas makan malam, bot berpindah lokasi pancingan dengan perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam. Sampai sahaja, selepas lebih kurang 20 minit umpan diturunkan, Sabri mendapat rentapan seekor ikan aruan tasik.
Mior selaku ketua kumpulan mengarahkan yang lain menggulung tali kerana dikhuatiri bakal berbelit antara satu sama lain jika ikan tersebut membuat pusingan di sekeliling bot. Masing-masing bingkas menggulung tali pancing.
Akhirnya, seekor aruan tasik saiz kasar tewas. Selepas itu, saya pula mendapat seekor jenahak hasil daripada umpan sotong mati. Manakala Shahz mendapat seekor yu kemejan di hadapan bot.
Menjelang pukul 6 pagi, kedudukan bot telah berpusing hampir 180 darjah, sekali gus menyebabkan jatuhan umpan kami betul-betul di ‘rumah’ pari.
Latip memperolehi dua ekor pari, manakala Wan dan GB masing-masing mendapat seekor dan empat ekor lagi terlepas kerana putus selepas tali bergesel di bawah bot.
Hari kedua
Keesokan harinya, kami berpindah lubuk yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan.
Sebaik sahaja bot berlabuh, pemancing di belakang terus mendapat ikan ebek kapak.
Kemudian, saya pula mendapat seekor ikan merah diikuti oleh Sabri dengan ibu kerisi.
Tiba-tiba, saya terdengar keriuhan apabila seekor kerapu pisang tewas di tangan Wan, sekali gus menjadikan salah satu hasil pancingan terbaik dalam trip ini.
Kemudian, kami berpindah lagi ke lokasi pancingan yang menghala ke arah jalan balik. Ia mengambil masa dua jam perjalanan.
Sebaik tiba, kami meneruskan pancingan hingga ke malam dengan beberapa koleksi ikan bagi menampung ruang di dalam tong ikan yang masih kosong.
Oleh kerana ikan kurang aktif di lubuk ini, ramai yang mengambil kesempatan untuk tidur di tepi joran yang telah dipasang dengan loceng penggera kerana peratusan ikan makan umpan boleh dinisbahkan sejam seekor.
Pada pukul 8 pagi keesokan harinya, bot mula bergerak pulang dan tiba di jeti pada 1.30 tengah hari.















