fbpx
Najib Razak

Rayuan AG ditolak, Titah Adendum Najib akan didengar di Mahkamah Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kewujudan Titah Adendum akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim secara sebulat suara menolak rayuan Peguam Negara untuk menghalang semakan yang dikemukakan bekas Perdana Menteri itu didengar.

Dengan keputusan mahkamah tertinggi itu, semakan tersebut akan didengar di Mahkamah Tinggi seperti tarikh yang akan ditetapkan.

Dua lagi hakim ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Sebelum ini, panel akan memutuskan sekiranya rayuan ditolak, semakan itu akan diteruskan di Mahkamah Tinggi. Sekiranya dibenarkan, hasrat Najib, 72, untuk meneruskan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mandamus supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah akan berakhir.

Pada 9 Julai lalu, mahkamah selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Dalam prosiding terdahulu, ketika berhujah, Muhammad Shafee antara lain menyatakan Peguam Negara sepatutnya berterus-terang dari awal bahawa Titah Adendum tersebut wujud.

Hujah beliau, Peguam Negara sewajarnya melaksanakan kewajipan secara jujur (duty of candour) pada peringkat prosiding, namun Mahkamah Tinggi sebaliknya membantah kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Najib.

“Anak guam saya sudah bertindak sewajarnya untuk mendapatkan pengesahan mengenai kewujudan dokumen berkenaan. Malah, dokumen itu hanya diperoleh oleh anak beliau, Datuk Mohamad Nizar selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan menolak permohonan semakan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Dusuki dalam hujahannya berkata, Najib dan Mohamad Nizar tidak mengemukakan bukti munasabah berkaitan kewujudan Titah Adendum, walhal berpeluang berbuat demikian di peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Hujah beliau, Mohd. Nizar yang juga EXCO berpeluang mendapatkan titah itu kerana beliau kerap menghadiri mesyuarat dan pertemuan dengan Sultan Pahang.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari 2024.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu adalah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta-merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukuman penjara daripada 12 kepada enam tahun, manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI