PETALING JAYA – Selepas tular kejadian dua wanita menyambut kelahiran seorang bayi lelaki di tepi jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Dahlia di Pasir Gudang, Johor pada Ahad lalu, ramai tampil berkongsi tempat lahir masing-masing yang unik di media sosial.
Ada di antara mereka lahir di lokasi luar jangka seperti dalam bas, kereta, tepi jalan, malah di balai polis gara-gara keadaan kecemasan atau proses kelahiran yang berlaku terlalu pantas.
Seorang pengguan Facebook berkongsi pengalaman melahirkan anak perempuannya di dalam kereta di plaza tol dengan alamatnya tertulis ‘Dalam kereta di Tol Plaza Duta Link DUKE, Segambut, Kuala Lumpur’.
“Alamat surat lahir anak bersalin dalam kereta,” kata wanita itu.
Pengguna lain, Norhidayah Salleh, memaklumkan ibunya melahirkannya di tepi jalan di sebuah kampung di Kedah pada awal 1980-an kerana ambulans tidak sempat sampai ke hospital.
“Ayah hanya bentang kain batik di tepi jalan, dan saya lahir di situ. Sampai sekarang keluarga suka mengusik saya sebagai ‘anak jalan’,” katanya.
Selain itu, ada juga yang berkongsi tempat kelahirannya di dalam sijil lahir tertulis ‘dalam perjalanan ke hospital’.
“Dulu waktu sekolah selalu kena ejek sebab tempat lagir aku yang paling pelik. Sekarang aku bangga dengan tempat kelahiran aku,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE