PETALING JAYA – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menzahirkan kesyukuran selepas berjaya lulus sesi viva bagi pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD), di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian, berkata, sesi berkenaan juga berjaya ditempuhi hanya dengan pindaan kecil sahaja.
“Syukur Alhamdulillah pagi ini, saya selesai dan lulus viva #PhD di #UUM #Sintok #Kedah dengan pindaan dan pembetulan kecil (minor correction).
“Saya akan hantar pembetulan itu dalam tempoh dua minggu. Tajuk tesisnya panjang, namun boleh diringkaskan kpd ‘Komunikasi dan GST’,” kongsinya di media sosial.
Terdahulu, beliau pernah menyuarakan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD.
Menerusi ciapan di Twitter ketika itu, bidang yang dipilih beliau mungkin berdasarkan ekonomi dan kewangan.
“Semoga hasil tesis saya nanti boleh digunakan untuk manfaat rakyat dan negara.
“Hidup perlu diteruskan, perlu juga ada dimensi baru. Mohon doakan saya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE