SHAH ALAM – Program ‘Talent Pipeline’ antara inisiatif tambahan boleh dilaksanakan bersama pihak industri bagi memperkukuhkan kebolehpasaran graduan politeknik.
Pengarah Urusan TXMR Sdn. Bhd., Tengku Mohd. Farid Tengku Hassim berkata, menerusinya pelajar yang berpotensi dikenal pasti dari awal untuk diserap masuk ke dalam industri sebaik tamat pengajian.
Katanya, modul mikro-kelayakan berasaskan kemahiran teknikal semasa seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), data loggers, smart manufacturing juga boleh dilaksanakan bagi tujuan itu.
“Antara cadangan lain adalah peningkatan penglibatan pihak industri dalam penilaian kurikulum untuk memastikan kesesuaian isi kandungan dengan keperluan pasaran semasa. Sinergi berterusan boleh dilaksanakan dengan kolaborasi projek ‘real-world’ antara pelajar politeknik dan pihak industri, melibatkan cabaran sebenar dalam syarikat.
“Selain itu, perluasan program Sangkutan Industri Pensyarah (SIP), dalam memastikan pensyarah terus relevan dengan perubahan semasa industri,” katanya ketika berucap merasmikan konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) ke-26 di sini kelmarin.

Beliau yang juga lepasan graduan Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Kota Bharu memaklumkan pelaksanaan pembelajaran berasaskan pendekatan industry-led seperti program Work-Based Learning (WBL) dan Industry on Campus (IOC) di peringkat politeknik terbukti satu langkah yang realistik serta berpotensi besar melahirkan graduan yang relevan dengan keperluan semasa industri.
“Jangan takut untuk bermimpi besar. Jadilah anak bangsa yang berjiwa merdeka, bermotivasi tinggi dan berdaya tahan dalam hadapi segala cabaran. Yakinlah anda mampu memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PSA, Zarinah Rujihan berkata, seramai 937 graduan diraikan sempena konvokesyen itu menjadikan 44,509 graduan telah dilahirkan sejak PSA ditubuhkan pada 1997.
“PSA juga dalam perancangan menubuhkan Institute of Medical Engineering Technology (IMET) yang menyokong fokus POLYCC terhadap penguasaan teknologi termaju seperti Additive Manufacturing dan Electric Vehicle,” katanya. -KOSMO! ONLINE