TAIPING – Pesawah yang terjejas akibat kemarau tidak perlu menunggu pengisytiharan bencana untuk memohon tuntutan pampasan tanaman padi kerana proses bayaran akan dilakukan secara automatik selepas laporan lengkap diterima.
Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, berdasarkan prosedur semasa, tiga kategori bencana iaitu banjir, kemarau dan ribut sudah ditetapkan layak menerima bantuan tanpa perlu melalui proses pengisytiharan rasmi.
“Pesawah hanya perlu membuat laporan polis, mengambil gambar keadaan sawah yang terjejas dan menyerahkannya kepada pegawai Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) atau Jabatan Pertanian berdekatan.
“Laporan itu perlu dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh bencana berlaku. Jika lewat, kita tidak dapat memproses tuntutan kerana bantuan ini berbentuk bayaran tunai,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pertanian Daerah Larut Matang Selama, di sini hari ini.
Menurut beliau, pegawai jabatan bersama Pengarah IADA Kerian telah diarahkan sejak tiga minggu lalu untuk turun padang berjumpa pesawah bagi mendapatkan bukti awal kerosakan akibat kemarau.
Jelasnya, kadar bantuan yang ditetapkan adalah RM860 bagi tanaman berusia 70 hari ke bawah dan RM1,800 bagi tanaman berusia melebihi 70 hari untuk setiap hektar yang terjejas.
Beliau turut menegaskan agar pesawah memilih salah satu saluran tuntutan sama ada melalui skim bantuan bencana tanaman padi atau insurans padi Agrobank bagi mengelakkan tuntutan berganda. – KOSMO! ONLINE